Sabtu, 30 April 2016 | 1:00am

Jurulatih Perak kena gantung 3 perlawanan


SYAMSOL Saad.

KUALA LUMPUR: Skuad Liga Super Perak sah kehilangan khidmat ketua jurulatihnya Syamsol Saad bagi tiga aksi Liga Super, bulan depan selepas pengendali berusia 41 tahun itu digantung empat perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bersidang hari ini mendapati Syamsol bersalah kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil perlawanan semasa perlawanan Liga Super di antara Johor Darul Ta'zim dan Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor pada 5 April lalu.

Penggantungan tiga perlawanan berkenaan melibatkan pertemuan di antara Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Perak di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 4 Mei, perlawanan Sarawak menentang Perak di Stadium Negeri, Kuching (18 Mei) dan pertemuan di antara Perak dan Sarawak di Stadium Perak, Ipoh, selang tiga hari kemudian.

Untuk rekod, Syamsol sudah menjalani penggantungan satu perlawanan secara automatik ketika Perak tewas 3-4 kepada Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Perak, 9 April lalu.

Badan induk itu memaklumkan Syamsol didapati bersalah kerana melanggar Artikel 51.1 (a) Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan salah laku terhadap pegawai perlawanan dan dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan perintah keluar padang.

Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) menerima padah susulan tindakan liar penyokong masing-masing dalam aksi Liga Malaysia.

MUSA didenda sebanyak RM15,000 susulan tindakan penyokong mereka yang melontar botol air minuman dan memanjat pagar untuk menyertai pergeseran dengan penyokong Negeri Sembilan semasa aksi Liga Perdana membabitkan kedua-dua pasukan di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 1 Mac lalu.

PBNS pula didenda sebanyak RM5,000 susulan tindakan penyokong mereka melontar botol air minuman ke arah penyokong pasukan Melaka pada perlawanan yang sama.

FAM mengenakan denda sebanyak RM10,000 kepada KFA susulan tindakan penyokong mereka yang membakar suar selepas aksi suku akhir kedua Piala FA di antara Kedah dan Sabah di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 1 April lalu.

Badan induk itu menegaskan ketiga-tiga persatuan berkenaan serta Syamsol diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. - BERNAMA

Berita Harian X