Sabtu, 30 April 2016 | 12:21am
KILAFAIRY cukup teliti dalam kerja seni yang dilakukannya. - Foto Munira Abdul Ghani
SENANG bergerak secara perlahan, Kilafairy rasa lebih selamat mencapai sasaran kerjaya dengan teratur.
KILAFAIRY benci individu curang dan menyifatkan mereka sebagai golongan tidak bersedia memikul tanggungjawab. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Kilafairy benci individu tidak setia


MENGENALI penyanyi dan pelakon, Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jangir Khan, 24, gadis ini cukup teliti dalam kerja seni yang dilakukannya agar dapat memberikan yang terbaik kepada peminat.

Walaupun belum mencapai kejayaan besar dalam kerjaya, namun anak gadis penyanyi Rohana Jalil ini membuktikan, setiap hasil lagu yang dibawakan cukup berkualiti dan memberi kesan tersendiri kepada peminat muzik arus perdana.

Imbas kembali langkah Kilafairy, beliau memulakan karier nyanyian menerusi single sulung, Pasti, sekitar 2012. Bakatnya yang tidak terhad kepada bidang lakonan membawa dirinya jauh dalam persada muzik tempatan menerusi single popular lain, antaranya Resolusi, Roman (lagu runut bunyi filem Tihany) pada 2013 dan seterusnya Warna Cinta (lagu runut bunyi filem Dilwale versi bahasa Melayu).

Malah, lagu duet Warna Cinta bersama Aliff Aziz turut meledak dalam carta iTunes apabila berjaya menduduki tangga kelima, manakala jumlah tontonan videonya di YouTube pula mencecah lebih 3 juta kali sehingga kini.

Terkini, lagu Setia ciptaan sepenuhnya oleh ahli kumpulan Samsons, Irfan Aulia, dilihat menjadi strategi unik bagi melonjakkan lagi nama Kilafairy di bidang muzik.

Malah lagu hasil sentuhan komposer Indonesia ini mampu mendekati 'trend' muzik semasa yang menggemari muzik balada dengan lirik yang ringan.

KILAFAIRY atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jangir Khan. - Foto Munira Abdul Ghani

"Setia cukup kena dengan jiwa saya dan pastinya senang didengari oleh peminat muzik tempatan. Saya amat teruja dapat bekerjasama bersama Irfan Aulia dan garapan beliau berjaya menghasilkan melodi serta lirik puitis sangat indah.

"Lagu ini juga adalah buah tangan terbaharu buat peminat yang setia menyokong perjalanan seni saya," ujarnya ketika berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.

Mengenai Setia, lirik lagu itu menceritakan mengenai pasangan bahagia yang saling setia antara satu sama lain.

Taruhan berani Kilafairy terbukti menerusi lantunan vokal yang merdu, dipadukan dengan susun atur melodi padat yang pastinya menggamit halwa telinga pendengar.

Mendengar bait lirik lagu yang cukup indah mengenai pasangan bahagia, Kila turut diminta pandangannya berkaitan beberapa kisah viral kehidupan pasangan kekasih zaman sekarang yang sering curang.

Bagi bintang filem Karak ini, beliau tidak gemar dengan individu yang curang dan menyifatkan mereka sebagai golongan yang belum bersedia memikul tanggungjawab dalam sesebuah perhubungan.

"Saya anggap hubungan sesebuah percintaan adalah pada tahap komitmen masing-masing. Tetapi, ia terpulang pada pendapat individu lain sejauh mana mereka mahu memberi komitmen terhadap pasangan mereka. Seperti dalam lagu ini (Setia), susah dan senang, pasangan itu sentiasa bersama.

KILAFAIRY atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jangir Khan. - Foto Munira Abdul Ghani

"Bagaimanapun, saya tidak mahu menilai mana-mana pihak. Mungkin setiap orang ada sebab kenapa mereka tidak setia?

"Saya sendiri memang benci dengan orang yang tidak setia. Bagi saya, jika belum bersedia, mereka tidak perlu mempunyai pasangan," ujarnya.

Sementara itu, walaupun baharu kira-kira lima tahun berada dalam industri seni tempatan, cara kerja Kilafairy boleh dilihat begitu matang dan tidak terburu-buru dalam meletakkan diri di 'papan atas', bersaingan dengan penyanyi lain.

Katanya, bergerak perlahan-lahan dilihat lebih selamat agar sasaran kerjaya dicapai dengan lebih teratur.

"Kalau hendak diikutkan, saya masih lagi 'baby' dalam industri dan banyak lagi perkara yang perlu dipelajari. Pada masa sama, saya belum berada pada tahap yang selesa.

"Bagaimanapun, cara saya membawa diri lebih 'relax' serta tidak terburu-buru dan untuk tahun ini, saya akan fokus dalam muzik. Jika ada kelapangan, mungkin saya menerima tawaran berlakon yang tidak memakan masa panjang, seperti telefilem atau program TV," katanya.

SINGLE sulung, Pasti, menjadi permulaan kemunculan Kilafairy dalam karier nyanyian sekitar 2012. - Foto Munira Abdul Ghani

Dalam perkembangan lain, Kilafairy bakal mengendalikan program Hero Oven menerusi saluran TV3.

Katanya, Hero Oven adalah sesuatu yang baru buat dirinya apabila beliau akan bertindak sebagai pengacara dan juri.

"Menariknya program ini, peserta terdiri daripada abang-abang 'sado' yang hebat dalam masakan.

"Saya sendiri, walaupun tidak terlalu hebat dalam memasak, saya memang cintakan makanan, Insya-Allah, saya boleh melaksanakan tugas mengendalikan program ini dengan baik," tuturnya.

Berita Harian X