Jumaat, 29 April 2016 | 9:39pm

Tiada catuan air di Perak


PENGERUSI Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin. - Foto Supian Ahmad

IPOH: Catuan air tidak akan dilaksanakan di Perak buat masa ini berikutan peningkatan paras air di Empangan Bukit Merah.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata ia diputuskan dalam mesyuarat khas petang tadi yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Ia diambil selepas mendengar laporan pembentangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Air Perak (LAP), Jabatan Meteorologi dan Jabatan Pertanian.

"Keputusan itu dibuat berdasarkan peningkatan paras Empangan Bukit Merah dalam minggu ini kepada 6.12 meter berbanding paras air pada Isnin iaitu 5.97 meter, kesan hujan di kawasan tadahan," katanya dalam satu kenyataan di sini, petang tadi.

Zainol Fadzi berkata, pihaknya mengambil maklum nasihat Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) tetapi berpegang kepada kenyataan Isnin lalu iaitu catuan mungkin dibuat sekiranya paras air di empangan turun ke tahap 5.1 meter.

Katanya, ia adalah hasil perbincangan antara LAP dan JPS tetapi bekalan kepada sistem pengairan pertanian terpaksa dihentikan sehingga paras air kembali ke paras normal iaitu melebihi 6.9 meter.

"Buat masa ini, keutamaan hanya diberi untuk bekalan kepada Loji Rawatan Air Gunung Semanggol bagi kegunaan domestik dan industri," katanya.

Berita Harian X