Khamis, 28 April 2016 | 3:42pm

ANGKASA sasar 50 koperasi sekolah jana perolehan RM1 juta setahun

KOTA BHARU: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyasarkan 50 koperasi sekolah seluruh negara mencapai perolehan RM1 juta setahun menjelang 2020.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata sehingga kini, tiga sekolah mencapai perolehan RM1 juta hasil jualan peralatan dan kelengkapan persekolahan, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, di sini; Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang dan SMK Sibu, Sarawak.


PRESIDEN Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

"Kita jangka sekurang-kurangnya empat koperasi sekolah lagi akan memperoleh sasaran itu tahun ini bagi mencapai jumlah 50 koperasi menjelang 2020 memperoleh RM1 juta setahun.

"Saya yakin dengan strategi, pendekatan dan idea seperti kejayaan tiga sekolah setakat ini, lebih banyak sekolah mampu menjana perolehan RM1 juta setahun. Sehingga kini, ANGKASA sudah merekodkan lebih 300 koperasi sekolah mencapai perolehan RM500,000 ke atas," katanya.

Ketika ini, ada 2,335 koperasi sekolah beroperasi di seluruh negara.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Majlis Jubli Emas dan Hari Koperasi Sekolah di SMK Kota, tadi. Yang turut hadir, Naib Presiden ANGKASA, Datuk Kamarudin Ismail dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Jaafar Ismail.

Pada majlis itu, ANGKASA turut melancarkan produk air cincau yang dihasilkan Koperasi SMK Kota yang menggunakan formula dan dana sendiri.

"Koperasi SMK Kota meletakkan penanda aras sama seperti pasar raya kerana guna pengurusan, susun atur dan sistem sama. Lebih menarik, pekerja adalah bekas pelajar sendiri. Hasil kejayaan mereka, ANGKASA akan cuba mendapatkan sijil halal dan sijil SIRIM supaya produk ini boleh dipasarkan di seluruh negara," katanya.

Sementara itu, beliau menggalakkan koperasi meneroka peluang perniagaan baharu supaya menjadi pilihan dan rujukan 1,000 perwakilan antarabangsa yang akan menghadiri persidangan International Co-operative Alliance Global Conference pada Disember tahun depan di Turki.

"Kita akan promosi produk koperasi sekolah untuk diangkat sebagai testimonial bagi rujukan perwakilan antarabangsa. Jadi saya harap koperasi sekolah bersedia kerana mereka sudah tentu akan menjadi perhatian perwakilan pada persidangan itu nanti," katanya.

Berita Harian X