Khamis, 28 April 2016 | 11:50am

8 cedera nahas 4 kenderaan

SEREMBAN: Tujuh pekerja dalam sebuah bas kilang dan seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Kayu Ara, Mambau, dekat sini pagi tadi.

Selain bas kilang dan Toyota Hilux, sebuah kereta PERODUA Viva dan motosikal turut terbabit dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi, arah Seremban itu.

Bas kilang itu dinaiki 10 penumpang dengan tujuh daripada mereka cedera bersama pemandu Toyota Hilux berkenaan. Pemandu itu tersepit di tempat duduknya dan bomba mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan semua mangsa yang cedera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Yahya Jaffar, ketika dihubungi, berkata semua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk rawatan lanjut. - BERNAMA

Berita Harian X