Khamis, 28 April 2016 | 11:45am

Kerajaan didesak haramkan Uber, Grabcar


SEBAHAGIAN kereta teksi memenuhi ruang parkir perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur ketika sebahagian pemandu 102 teksi memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berhubung perkhidmatan kereta sapu professional Uber & Grabcar dan Blacklane yang didakwa beroperasi secara tidak sah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak mengharamkan perkhidmatan Uber dan Grabcar yang didakwa beroperasi tanpa undang-undang sah.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang, Zailani Isausuludin, berkata perkhidmatan terbabit menyebabkan pendapatan lebih 70,000 pemandu teksi di sekitar Lembah Klang terjejas.

Katanya, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu campur tangan menguatkuasakan undang-undang seperti termaktub di bawah kedua-dua agensi itu.

"Undang-undang tidak membenarkan kenderaan persendirian yang tiada lesen mengendali, beroperasi sebagai kenderaan awam.

"Bagaimana SPAD dan JPJ boleh membenarkan Uber dan Grabcar beroperasi, sedangkan pemandu teksi mempunyai syarat yang perlu dipatuhi untuk mengendali kenderaan awam," katanya pada sidang media, sebentar tadi.

Terdahulu kira-kira 100 pemandu teksi berhimpun secara aman di hadapan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini bagi menyokong permohonan injuksi untuk menghalang perkhidmatan Uber dan Grabcar. Mereka bagaimanapun bersurai kira-kira jam 11 pagi.

Berita Harian X