Khamis, 28 April 2016 | 11:13am

Pemandu teksi bantah Uber jadi pencelah

KUALA LUMPUR: Seramai 102 pemandu teksi sekitar Lembah Klang membantah permohonan Uber menjadi pencelah dalam kes saman difailkan mereka terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Kes saman itu adalah berhubung perkhidmatan Uber, Grabcar dan Blacklane yang didakwa beroperasi secara tidak sah.

Peguam, R Kengadharan yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang bagi pihak semua pemandu teksi itu, berkata bantahan dibuat kerana perkhidmatan Uber tidak berdaftar seperti pemandu teksi bermeter.

Kengadharan berkata, aktiviti Uber juga tidak diluluskan oleh SPAD dan tidak mematuhi peruntukan undang-undang, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta 715 Enakmen SPAD 2010.

"Uber memfailkan permohonan pada 4 Mac lalu untuk menjadi pencelah dengan alasan punca pendapatan mereka terjejas berikutan kes saman ini dan ia akan menyebabkan lebih ramai pihak tampil memfailkan saman terhadap mereka.

"Kami pula menyatakan mereka tiada sebarang urusan dalam kes ini kerana tidak mempunyai kuasa sah di sisi undang-undang dan aktiviti mereka pula tidak diiktiraf oleh undang-undang," katanya selepas prosiding pengurusan kes saman itu dalam kamar Timbalan Pendaftar, Lukman Hakim Abu Bakar Sidik.

Kengadharan berkata, permohonan Uber untuk menjadi pencelah akan didengar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nor Bee Ariffin pada 31 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang selaku plaintif memfailkan saman itu pada 30 Disember lalu, menamakan SPAD sebagai defendan.

Dalam tuntutannya, plaintif mendakwa operasi Uber, Grabcar dan Blacklane tidak mendapat kelulusan beroperasi daripada SPAD serta kenderaan digunakan tidak dilengkapi insurans bagi melindungi penumpang.

Mereka juga mendakwa SPAD gagal dan cuai mengambil sebarang tindakan proaktif untuk mengharamkan perkhidmatan itu sehingga meminggirkan hak serta kepentingan plaintif.


SEBAHAGIAN daripada 102 pemandu teksi berkumpul di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, hari ini, bagi menyuarakan sokongan terhadap permohonan injunksi bagi menghalang perkhidmatan Uber dan Grabcar. - Foto Aizuddin Saad
Berita Harian X