Rabu, 27 April 2016 | 9:42pm

Abu Sayyaf berkomplot culik Aquino, Pacquiao


BINTANG tinju Manny Pacquiao.

MANILA: Presiden Filipina berkata hari ini, militan Abu Sayyaf mungkin berkomplot membunuhnya dan menculik bintang tinju Manny Pacquiao.

Presiden turut mendedahkan beberapa perincian mengenai rancangan kumpulan pemisah itu yang memenggal seorang tebusan warga Kanada, kelmarin.

Presiden Benigno Aquino III berkata, kumpulan militan itu juga mahu meletupkan bom di ibu kota ini untuk cuba mendapatkan pembiayaan daripada militan IS namun rancangan itu diketahui dan tentera menggagalkan keupayaan Abu Sayyaf.

Aquino, yang mana penggal pemerintahan enam tahunnya berakhir Jun ini, berikrar "untuk mengabdikan seluruh tenaganya" bagi memastikan pelampau "sekurang-kurangnya hanya menjadi masalah serius" kepada penggantinya.

Ketika beliau membuat perjanjian damai dengan kumpulan pemisah lebih besar, Aquino berkata, tiada kemungkinan mengadakan rundingan dengan Abu Sayyaf yang kejam, yang bertanggungjawab memenggal warga Kanada, John Ridsdel, 68, Isnin lalu di wilayah selatan Sulu.

"Kami sentiasa percaya kuasa dialog, pembangunan dan perjanjian positif berkaitan senjata. Namun anda memilih bahasa kekerasan dan kami hanya bercakap dengan anda hanya dengan bahasa itu," kata Aquino mengenai Abu Sayyaf. - AP

Berita Harian X