Rabu, 27 April 2016 | 5:01pm

Kedai barangan jenama tiruan diserbu


KETUA Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kuala Selangor, K Ramesh bersama kakitangannya membuat serbuan di sebuah premis menjual peralatan sukan di Kuala Selamgor, semalam. - Foto Suzaini Sulaiman

KUALA SELANGOR: Sebuah premis menjual peralatan sukan di sini, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Selangor semalam, selepas didapati menjual barangan tiruan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kuala Selangor, K Ramesh, berkata premis berkenaan diserbu selepas pihaknya menerima aduan daripada wakil pemilik cap dagang jenama ADIDAS yang mendakwa berlaku penjualan barangan tiruan ADIDAS Gred A di situ.

"Hasil pemeriksaan antara jam 10 pagi hingga 2 petang mendapati, seorang lelaki berusia 40-an yang juga pemilik premis, menawarkan pelbagai jenis pakaian menggunakan perihal dagangan palsu jenama ADIDAS.

"Antara barangan dikenal pasti adalah kemeja T, seluar sukan panjang, seluar sukan pendek, stokin, penahan lutut, penahan buku lali, penahan keting, kasut bola dan kasut sukan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ramesh berkata, pengecaman awal wakil pemilik cap dagang mendapati sukar membuat pengesahan kerana barangan yang dipamerkan seakan-akan tulen manakala harga dipamerkan sama dengan harga barangan asli.

"Bagaimanapun, wakil pemilik cap dagang berjaya mengesahkan barangan sukan yang dipamerkan adalah tiruan kerana tiada nombor kod pengeluaran, sekali gus menjadi kesalahan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagagan 2011.

"Penguat kuasa KPDNKK Kuala Selangor merampas 154 unit barangan sukan jenama ADIDAS tiruan dengan nilai rampasan dianggar RM8,500 untuk siasatan lanjut.

"Jika sabit kesalahan, peniaga boleh dihukum tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun.

"Sekiranya kesalahan dilakukan sesuatu pertubuhan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan," katanya.

Berita Harian X