Jumaat, 31 Oktober 2014 | 11:54am

Rodgers tak bimbang sikap Balotelli

LONDON: Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers mengakui 'tidak bimbang' dengan tingkah laku Mario Balotelli di atas padang sekalipun berlaku dua insiden membabitkan penyerang itu ketika kempen Piala Liga menentang Swansea City.

Penyerang kelahiran Itali itu diarah meninggalkan sesi memanas badan menjelang pertembungan dengan Swansea, Selasa lepas di Anfield yang memaksa pembantu pengurus, Colin Pascoe menafikan laporan ia disebabkan sikap pemain berusia 24 tahun itu.

Dan selepas meledak gol penyamaan ketika kemenangan 2-1 The Reds, Balotelli kemudian bertegang leher dengan pemain Swansea, Jonjo Shelvey yang dilihat berterusan selepas masa perlawanan berakhir.


PENGURUS Liverpool, Brendan Rodgers (kiri) dan pemainnya, Mario Balotelli pada perlawanan Liga Perdana Inggeris bertemu Hull City di Anfield, minggu lalu. - Foto EPA

Namun ketika ditanya mengenai apa yang berlaku dalam sidang media, Rodgers membalas: "Saya tidak tahu, namun tiada sebarang masalah, jadi kita boleh teruskan.

Ditanya adalah dia bimbang pemainnya yang memiliki karektor unik, Balotelli menjadi sasaran pemain lawan, Rodgers menjawab: "Saya tidak perlu menjaga Mario. Dia baik. Tiada kebimbangan."

Dengan masalah kecederaan terus menghantui Daniel Sturridge, Balotelli dijangka akan terus menjadi pertaruhan Liverpool di jentera serangan ketika membuat kunjungan ke Newcastle United, esok.

Ketiadaan Sturridge dan kehilangan penyerang, Luis Suarez ke Barcelona menyaksikan Liverpool bergelut untuk menjaringkan gol musim ini dan hanya meledak 13 gol daripada sembilan perlawanan liga.

Balotelli setakat ini hanya menjaringkan satu gol dalam perlawanan liga dan penyerang muda, Rickie Lambert masih belum membuka akaun jaringannya bersama Liverpool namun Rodgers masih bersabar dan percaya ia akan hadir tidak lama lagi. - AFP

Berita Harian X