Jumaat, 31 Oktober 2014 | 9:05am
MURRAY tempah tiket ke London, jumpa Djokovic di suku akhir. - Foto AFP

Murray jumpa Djokovic di suku akhir Paris Masters

PARIS: Kebangkitan bintang Britain, Andy Murray berterusan apabila mengesahkan tiket ke kejohanan Jelajah ATP Final selepas mara ke suku akhir Paris Masters selepas menundukkan pemain Bulgaria, Grigor Dimitrov, 6-3 6-3, awal pagi tadi.

Selepas terkeluar daripada kelompok 10 pemain terbaik dunia dengan penyingkiran di suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS), Murray melancarkan kempen kebangkitan lewat untuk beraksi dalam kejohanan yang menampilkan lapan pemain terbaik dunia di London itu.

Dan pilihan kelapan di Paris itu membuktikan dia bersedia mengharungi segala cabaran untuk layak dengan membenam pilihan kelapan, Dimitrov yang sudah tidak berpeluang untuk beraksi di arena London O2 pada 10 hingga 16 November ini.

Begitupun, laluan sukar menanti Murray apabila dijadual menentang pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic selepas jaguh Serbia itu menewaskan pemain tuan rumah, Gael Monfils 6-3 7-6(2) dalam masa 92 minit.

"Tiada apa yang melemahkan saya dalam perlawanan ini," kata Murray kepada wartawan selepas menjadi pemain kelima layak ke London.

"Dalam beberapa perlawanan yang saya hadapi menentang pemain terbaik dunia, saya berdepan satu tempoh di mana permainan saya sedikit menurun dan mereka menggunakan segala peluang itu.

"Saya tidak mengalaminya hari ini. Saya bermain dengan baik sejak permulaan permainan sehingga akhir dan menjadikannya amat sukar buat Grigor."

Dalam pada itu, pilihan kedua kejohanan, Roger Federer menewaskan seorang lagi pemain Perancis, Lucas Pouille 6-4 6-4 dan dijadual bertemu pemain Kanada, Milos Raonic yang masih boleh layak ke London dengan kemenangan 7-5 7-6(7) ke atas pemain Sepanyol, Roberto Bautista Agut.

Jaguh Switzerland, Federer yang sudah memenangi lima daripada 10 pertembungan final tahun ini masih boleh memburu kedudukan terbaik dunia tahun ini seandainya menjuarai Paris Masters dengan syarat Djokovic tidak mara ke final.

Begitupun, malang buat pilihan ketiga yang juga rakan senegara Federer, Stan Wawrinka yang juga sudah layak ke London apabila tumbang 6-7(2) 7-5 7-6(3) kepada pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson.

Dalam pada itu, Thomas Berdych yang juga masih berpeluang untuk beraksi di London mencatat kemenangan 7-5 6-3 ke atas pemain Sepanyol, Feliciano Lopez, seperti dilakukan jaguh Jepun, Kei Nishikori yang menewaskan seorang lagi pemain tuan rumah, Jo-Wilfried Tsonga 6-1 4-6 6-4.

Pemain terbaik Asia itu boleh mengesahkan tempat di ATP Final seandainya menewaskan pilihan keempat di Paris, David Ferrer di suku akhir selepas pemain Sepanyol itu menewaskan rakan senegaranya, Fernando Verdasco 6-1 6-2.

Perlumbaan ke London

(Sudah layak)

- Novak Djokovic, 9190 mata

- Roger Federer, 8700m

- Stan Wawrinka, 4895m

- Andy Murray, 4475m

- Marin Cilic, 4150m*

(Belum layak)

- Kei Nishikori, 4445s

- Tomas Berdych, 4285m

- David Ferrer, 4045m

- Milos Raonic, 4020

*

- Rafa Nadal yang berada di ranking tiga dunia tarik diri akibat kecederaan.

- Cilic layak selaku juara di Grand Slam Terbuka AS

Berita Harian X