Selasa, 26 April 2016 | 2:46pm

Aidil diperintah bayar tunggakan nafkah RM68,530 kepada Rita


MOHD Aidil diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor membayar tunggakan nafkah RM68,530 kepada bekas isterinya, Rita Rudaini. - Foto Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah hari ini, memerintahkan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Razak membayar tunggakan nafkah RM68,530 kepada bekas isterinya, Rita Rudaini Mokhtar.

Hakim Syarie Mawardi Che Man turut memerintahkan pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu membayar kos guaman yang ditanggung Rita sepanjang prosiding perbicaraan itu.

"Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar kedua-dua jumlah itu dalam tempoh 45 hari bermula hari ini," katanya ketika membaca penghakiman ringkasan.

Rita yang diwakili peguamnya, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain, memfailkan tuntutan terbabit pada 14 Disember 2013.

Mohd Zaidi memaklumkan kepada mahkamah anak guamannya tidak dapat hadir berikutan masalah kesihatan dan baru keluar dari hospital semalam. Aidil diwakili peguam Rushdan Sujak.

Sebelum ini, Rita, 40, turut memfailkan tuntutan mutaah RM300,000 daripada Aidil, 29, pada 7 Julai 2014 mengikut Seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. 

Bagaimanapun, pada Oktober tahun lalu, Mawardi memutuskan Aidil perlu membayar RM30,000 tuntutan mutaah terbabit.

217 dibaca
Berita Harian X