Selasa, 26 April 2016 | 11:54am

Dadah 14.5 kilogram dirampas di Taiping


Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Supt Abdul Latif Mehat (dua dari kiri) dan pegawai penyiasat, ASP Wan Rosli Wan Hassan (tengah), memeriksa dadah yang dirampas berserta peralatan pada sidang media di IPK, sambil diperhati Pegawai Turus Risikan/Operasi/Tahanan, DSP Ahmad Jefferi Abdullah (kiri). - Foto Yahya Zainuddin

IPOH: Polis merampas 14.5 kilogram (kg) heroin dan menahan seorang lelaki di dua tempat berasingan di Taiping pada Jumaat dan Sabtu lalu. 

Dalam serbuan pertama pada jam 12.40 tengah hari Jumaat lalu, polis menahan lelaki berusia 40an itu dan merampas satu beg berwarna hitam berisi 10 bungkusan dadah seberat 4.5 kilogram di tempat parkir Hentian Sebelah Taiping Lebuhraya Utara-Selatan. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Superintendan Abdul Latiff Mehat, berkata lelaki itu mempunyai lapan rekod jenayah dan ujian air kencing mendapatinya positif syabu. 

"Semua dadah itu dianggarkan bernilai RM90,000 dan polis turut merampas kereta PROTON Saga digunakan suspek," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi. 

Abdul Latiff berkata, dalam serbuan kedua kira-kira jam 11 malam Sabtu lalu pula, sepasukan polis menyerbu sebuah pondok dalam sebuah ladang kelapa sawit di Simpang dekat Taiping. 

Katanya, dalam serbuan itu, polis menemui 20 bungkus plastik disyaki berisi heroin kira-kira 10 kg bernilai RM190,000 serta merampas beberapa peralatan memproses dadah. 

Beliau berkata, siasatan mendapati semua dadah itu dipercayai untuk diedarkan ke kawasan sekitar Perak dan boleh dibekalkan kepada lebih kurang 12,000 penagih.

Berita Harian X