Selasa, 26 April 2016 | 8:23am

Polis Honduras didakwa bunuh 152 orang - Pemerhati


Polis Honduras menembak gas pemedih mata kepada penunjuk perasaan.

TEGUCIGALPA: Polis Honduras didakwa membunuh 152 orang sepanjang tempoh dua tahun dalam pelbagai operasi tetapi tiada penyiasatan dijalankan terhadap penggunaan senjata api, kata pemerhati keganasan.

Tindakan ganas polis menjadi tajuk utama dalam akhbar tempatan berikutan pendedahan media berkaitan dokumen rasmi yang menunjukkan sejumlah pegawai kanan polis menerima rasuah dari seorang raja dadah untuk membunuh pegawai anti-dadah kanan pada 2009 dan penasihat keselamatan kerajaan pada 2011.

Skandal terbabit menyebabkan kerajaan terpaksa mencari jalan bagi membersihkan imej pasukan polis.

"Kami mencatat 152 kematian dalam operasi polis sepanjang dua tahun, 2014 dan 2015 dan tiada penyiasatan dibuat bagi menentukan sama ada pegawai yang terbunuh ketika mempertahankan diri atau terdapat unsur keganasan," kata penyelaras Pemantau Keganasan Universiti Kebangsaan Honduras, Migdonia Ayestas.

Kerajaan juga menubuhkan suruhanjaya bagi memecat 1,500 pegawai yang disyaki mempunyai kaitan dengan pengedaran dadah, peras ugut dan keganasan lain.

Sejak 2008, katanya, polis disyaki membunuh 601 orang kebanyakannya adalah ahli kumpulan dadah. - AFP

Berita Harian X