Isnin, 25 April 2016 | 11:29pm

8 empangan dibina, naik taraf tampung keperluan air negara


MENTERI Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Kerajaan membina dan menaik taraf lapan empangan bagi menampung keperluan bekalan air negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan RMK11.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili, berkata daripada jumlah itu, empat empangan akan dibina di bawah RMK11, dua lagi sedang dalam pembinaan dan dua lagi sudah siap dibina.

Empangan yang akan dibina ialah Projek Menaik Taraf Empangan Congok di Mersing, Johor, Skim Bekalan Air Tawau Fasa II - Reka Bentuk dan pembinaan Empangan Air, Empangan Jernih di Alor Gajah, Melaka dan Sumber Bekalan Air Mentah Wilayah Betong-Empangan Batang Layar di Sarawak.

"Empangan yang sedang dalam pembinaan ialah Empangan Kahang di Kluang, Johor dan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang di Pulau Pinang.

"Empangan yang telah siap dibina ialah Empangan Bengoh di Kuching dan Skim Bekalan Air Teriang Fasa 1 Bagi Daerah Seremban (Pakej 5) - Pembinaan Empangan Sungai Teriang," katanya semasa menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara di sini, hari ini.

Teks ucapan penggulungan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Ongkili berkata, isu kekurangan bekalan air tidak boleh diselesaikan hanya dengan pembinaan empangan semata-mata sekiranya kawasan tadahan tidak dipelihara.

"Oleh itu, komitmen kerajaan negeri untuk sama-sama memelihara kawasan tadahan adalah sangat penting bagi memastikan bekalan air mentah ke empangan tidak terjejas," katanya.

Sebuah jawatankuasa tertinggi turut ditubuhkan di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bagi menangani isu berkaitan bekalan air, sumber air dan menerokai sumber air alternatif bagi menjamin kecukupan bekalan air pada masa hadapan selain peranan pengguna dalam menjimatkan dan menghargai air.

Ongkili berkata, sumber air tanah negara boleh dijadikan alternatif kepada bekalan air untuk menampung bekalan ketika musim kemarau, namun kajian secara menyeluruh perlu dilaksanakan melibatkan 189 lembangan di seluruh negara.

"Kerajaan melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menjalankan projek kajian simpanan air tanah negara bagi dua lembangan sungai iaitu Lembangan Sungai Kelantan dan Sungai Langat.

"Hasil kajian, jumlah Simpanan Air Tanah yang selamat boleh diesktrak di Lembangan Kelantan Utara ialah 509,000 meter padu sehari manakala di Lembangan Sungai Langat, sejumlah 45,000 meter padu Simpanan Air Tanah yang selamat diesktrak sehari," katanya.

Di bawah projek RMK11, JMG akan menjalankan kajian penilaian simpanan air terhadap Lembangan Muda di Kedah, Lembangan Sungai Selangor (Selangor), Lembangan Sungai Kedamaian-Tempasok (Sabah), Lembangan Sungai Pahang (Pahang) dan Lembangan Sungai Miri di Sarawak.

Persidangan Dewan bersambung esok. - BERNAMA

Berita Harian X