Isnin, 25 April 2016 | 12:02pm

Lelaki maut dilanggar lori


Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh lelaki lain yang memandu lori dipercayai dengan niat mahu membalas dendam di Larut Tin Sambungan, Pokok Assam, dekat sini, semalam. - Foto ihsan PDRM

TAIPING: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh lelaki lain yang memandu lori dipercayai dengan niat mahu membalas dendam di Larut Tin Sambungan, Pokok Assam, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang, mangsa berusia 25 tahun menunggang motosikal bersama seorang rakannya yang turut cedera dalam kejadian itu.

Pemandu lori berusia 46 tahun dikatakan melakukan jenayah itu untuk membalas dendam selepas mangsa dikatakan mencederakan saudaranya dipercayai dengan menggunakan parang dalam kejadian lain sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harith Kam Abdullah, berkata saksi di tempat kejadian memaklumkan pemandu lori merempuh motosikal mangsa sebelum melarikan diri.

"Siasatan dari rakaman CCTV (kamera litar tertutup) berhampiran membantu polis menangkap pemandu lori.

"Siasatan lanjut mendedahkan sebelum dilanggar, mangsa terbabit dalam satu pergaduhan yang menyebabkan saudara pemandu lori berkenaan cedera akibat ditetak.

"Kita percayai mangsa sengaja dilanggar oleh suspek kemungkinan bermotif membalas dendam," katanya di sini hari ini.

Harith Kam berkata, sebilah parang yang mempunyai kesan darah turut ditemui berhampiran mangsa.

Beliau berkata, selain pemandu lori, polis turut menahan rakan mangsa yang juga pembonceng motosikal dan lelaki berusia 54 tahun yang cedera ditetak dalam kejadian sebelum itu.

Katanya, semakan mendapati mangsa dan semua lelaki yang ditahan mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

98 dibaca
Berita Harian X