Isnin, 25 April 2016 | 10:44am

Pertembungan BN, PKR di DUN Tanjung Datu


Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (empat dari kiri) menjulang tangan calon BN N3 Tanjung Datu, Tan Sri Adenan Satem (tiga dari kanan) ketika mengiringi calon itu ke pusat penamaan di Dewan Masyarakat Lundu pagi ini. Beliau selesai menyerahkan borang penamaan jam 9.25 pagi. Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor (kanan) dan isteri calon, Puan Sri Jamilah Anu (dua dari kanan). - Foto BERNAMA

LUNDU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dari Barisan Nasional (BN) Sarawak dan calon PKR, Jazolkipli Numan (PKR).

Sehingga jam 10 pagi iaitu waktu tamat tempoh penyerahan kertas pencalonan, hanya Adenan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak dan Jazolkipli menyerahkan kertas pencalonan masing-masing.

Adenan yang diiringi pencadang, Kaunselor Abu Seman Karim dan penyokong, Kaunselor Abd Razak Wahab menyerahkan kertas pencalonan beliau kira-kira jam 9.25 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Tanjung Datu, Hamsieh Atar.

Jazopkipli pula menyerahkan kertas pencalonannya kira-kira jam 9.03 pagi sejurus Pusat Penamaan Calon DUN Tanjung Datu di Dewan Masyarakat Lundu, di sini.

Calon Parti Reformasi Sarawak (STAR), Mura Kadir yang sebelum ini disebut-sebut turut bertanding kerusi berkenaan tidak muncul sehingga tamat tempoh penyerahan kertas pencalonan.

Terdahulu, Adenan yang mewakili kerusi DUN Tanjung Datu sejak dua penggal lalu turut meluangkan masa beramah mesra dengan lebih 3,000 penyokong BN Sarawak yang berkumpul di pusat penamaan calon berkenaan seawal jam 7 pagi.

Beliau yang diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut berkesempatan menunaikan solat hajat di Masjid At-Taqwa yang terletak berhampiran Dewan Masyarakat Lundu sebelum berarak ke pusat penamaan calon.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan isteri Ketua Menteri, Puan Sri Jamilah Anu.

Dalam Pilihan Raya Negeri Ke-10 (PRN-10), Adenan memenangi kerusi DUN Tanjung Datu dengan memperoleh 3,216 undi.

Berita Harian X