Ahad, 24 April 2016 | 5:39pm

Pekerja Myanmar mati dibunuh

REMBAU: Seorang pekerja ladang warga Myanmar ditemui mati dengan kesan kelar pada leher dan dada di sebuah rumah kongsi di Legung Jaya di sini, pagi tadi.

Sumber berkata, mayat mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an ditemui rakan sekerja yang masuk ke rumah berkenaan kira-kira jam 8 pagi, di atas lantai dalam keadaan berlumuran darah.

"Rakan mangsa segera melaporkan kejadian itu kepada majikan yang kemudian menghubungi polis untuk siasatan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif, yang mengesahkan kejadian, berkata tiga kesan kelar ditemui pada leher dan dada mangsa.

"Kita masih menyiasat lanjut termasuk mengenal pasti identiti semua penghuni rumah kongsi itu. Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Berita Harian X