Ahad, 24 April 2016 | 2:11pm

422 pemilik PPR gagal bayar tunggakan sewa RM1.6j


KETUA Pengarah Jabatan Perumahan Negara (JPN), Datuk Mohamad Yusof Ghazali (dua dari kiri) membaca notis penyitaan kepada pemilik rumah, Subrina Ismail, 45, (tiga dari kiri) dan suaminya, Mohd Shukrei, 46, (dua dari kanan) ketika melakukan Ops Sejahtera Komuniti di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Dahlia, Langkawi. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Sebanyak 422 pemilik rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Dahlia di sini, gagal membayar sewa bulanan membabitkan tunggakan berjumlah RM1.6 juta, sejak lebih 13 tahun lalu.

Ketua Pengarah, Jabatan Perumahan Negara (JPN), Datuk Mohamad Yusoff Ghazali, berkata pihaknya dengan kerjasama kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas termasuk menyita rumah terbabit.

"Dalam temubual saya dengan penghuni sepanjang Ops Sejahtera Komuniti selama dua jam di sini hari ini, mendapati mereka (penghuni) memandang enteng kepada syarat pemilikan rumah PPR. 

"Ada penghuni tidak menjelaskan tunggakan sewa mencecah RM14,000 dan ini membuktikan dia tidak pernah membayar sewa sejak memasuki rumah terbabit," katanya pada sidang media di sini, hari ini. 

Terdahulu, Mohamad Yusoff mengetuai 50 penguat kuasa mengadakan operasi mengesan pemilik rumah PPR yang tidak membayar sewa bulanan, selain mengesan pemilik yang mengaut 'untung atas angin' dengan menyewakan kepada pihak lain. 

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan dan Timbalan Ketua Pengarah JPN, Rohani Omar.

13 dibaca
Berita Harian X