Ahad, 24 April 2016 | 1:52pm

Keyakinan kaum Cina terhadap Tok Nan makin menyerlah


POSTER besar mempamerkan kejayaan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem sepanjang menerajui pucuk pimpinan Kerajaan Negeri Sarawak sejak dua tahun lalu, mula dipasang di bulatan Merdeka. - Foto Khairul Ghazali

KUCHING: Jalinan hubungan dan kerjasama baik oleh Tan Sri Adenan Satem dengan masyarakat Cina telah meningkatkan tahap keyakinan masyarakat serta pemimpin perniagaan kaum berkenaan di Sarawak.

Malah, seorang daripada mereka meramalkan 'Tok Nan', yang dipanggil mereka, mampu menawan lima kerusi di kawasan bandar pada pilihan raya negeri (PRN) 7 Mei ini - empat lagi kerusi berbanding satu kerusi yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) pada 2011.

Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Masyarakat Cina Kuching, Dr Chou Chi Ming, berkata masyarakat Cina sudah melalui perubahan dalam pemikiran politik di bawah kepimpinan Adenan dengan kebanyakan mereka melihat beliau sebagai 'ketua menteri untuk semua rakyat Sarawak'.

"Beliau sudah melaksanakan semua janjinya untuk manfaat rakyat Sarawak. Kesemua dasar beliau adalah untuk kebaikan rakyat Sarawak dan bukan bagi kumpulan kecil kroni," kata Dr Chou.

"Beliau adil dan kerajaan negeri di bawah beliau bersih, adil dan cekap. Banyak pengundi Cina merasakan dasar politik dan ekonomi beliau adalah untuk membawa kembali masyarakat Cina di Sarawak dalam arus perdana politik.

Beliau berkata BN Negeri di bawah Tok Nan, mampu merampas kembali lima kerusi di kawasan bandar namun enggan menamakan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Dr Chou juga adalah bekas presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.

Daripada 15 kerusi majoriti kaum Cina yang dipertandingkan pada pilihan raya kali ini, hanya Bawang Assan dimenangi BN pada 2011. DAP akan mempertahankan 12 kerusi manakala PKR satu.

Satu lagi adalah kerusi baharu yang diwujudkan di Batu Kitang yang akan ditandingi oleh PKR.

Temenggong Lu Kim Yong, pemimpin masyarakat Cina yang berpengaruh di Kuching, berkata Adenan bukan sahaja menangani isu kritikal mengenai pendidikan kaum Cina dengan memberi geran kepada sekolah menengah persendirian Cina dan pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tetapi juga membuatkan komuniti perniagaan berasa gembira dengan dasar pertumbuhan beliau.

"Beliau memberikan kita perasaan yang sangat selesa. Beliau berfikiran luas, sangat bertimbang rasa dan sedar akan kepentingan semua kaum," katanya.

Beliau telah berkhidmat dalam kerajaan selama bertahun-tahun dan sejak mengambil alih jawatan (sebagai ketua menteri) dua tahun lepas, Tok Nan sudah melakukan begitu banyak untuk masyarakat. Semua ini memberi kelebihan kepada BN pada pilihan raya negeri akan datang," katanya.

Kenyataan Adenan bahawa 'orang Cina bukan pendatang' menyentuh kaum Cina kerana masyarakat itu sudah berada di negara ini bertahun-tahun, kata Lu, yang juga Naib Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak.

Cabaran BN pada PRN kali ini untuk kerusi majoriti kaum Cina diketuai oleh parti komponen, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan calon langsung, yang keluar daripada UPP, iaitu serpihan SUPP, untuk bertanding di bawah lambang BN.

Seorang ahli perniagaan, yang mengetuai persatuan perniagaan Sarawak, berkata Adenan boleh menjangka lebih banyak sokongan daripada masyarakat berkenaan.

"Beliau melayan kaum Cina dengan baik. Sebelum ini, sekolah-sekolah Cina tidak pernah diberi apa-apa peruntukan. Terus-terang, ia satu kerugian bagi masyarakat Cina jika tiada wakil Cina yang kuat dalam kerajaan negeri," kata ahli perniagaan itu yang tidak mahu dikenali.

Seorang ahli perniagaan di kubu kuat DAP di Padungan, berkata peningkatan sokongan itu, bagaimanapun, mungkin belum mencukupi bagi mengalihkan pengundi Cina terhadap BN kerana pengundi muda cenderung memihak kepada pembangkang.

"Secara peribadi, pertama saya akan melihat kepada calon dan kemudian apa sumbangan beliau. Saya berharap SUPP tidak akan tewas semua kerana kita juga perlu SUPP," katanya yang tidak mahu namanya disiarkan.

Seorang pengundi, Kho Khai Beng berkata masyarakat Cina perlu melihat kepada latar belakang calon pada pilihan raya negeri kali ini, dan bukannya kepada parti.

Pengundi berusia 78 tahun itu yang ditemui di Batu Kawah di mana Presiden SUPP, Senator Datuk Dr Sim Kui Hian bertanding, berkata: "Ini adalah masa bagi SUPP membuktikan bahawa parti itu tidak boleh dibuli."

Temenggong Lu berkata pertimbangan utama untuk pengundi Cina adalah untuk mempunyai keadaan yang aman dan stabil, dalam menjalani kehidupan serta menjalankan perniagaan dan memastikan generasi muda akan mempunyai 'keadaan yang lebih baik'.

Calon BN bagi kerusi majoriti kaum Cina adalah Peter Pau (Padungan), Milton Foo (Pending) dan Sih Hua Tong (Batu Lintang) di Bandaraya Kuching, Wilfred Yap (Kota Sentosa), Lo Khere Chiang (Batu Kitang) dan Senator Datuk Dr Sim Kui Hian (Batu Kawah) di Stampin, Datuk Seri Huang Tiong Sii (Repok) dan Ding Kuong Hing (Meradong) di Sarikei, Chieng Buong Toon (Bukit Assek) dan Datuk Tiong Thai King (Dudong) di Lanang, Datuk Seri Wong Soon Koh (Bawang Assan) dan Datuk Janet Lau (Palawan) di Sibu, Datuk Pau Chiong Ung (Tanjong Batu) di Bintulu serta Datuk Sebastian Ting (Piasau) dan Datuk Hii King Chiong (Pujut) di Miri. - BERNAMA

Berita Harian X