Ahad, 24 April 2016 | 8:26am

Nadal hampiri rekod legenda Argentina


RAFAEL Nadal. - Foto AP

BARCELONA: Rafael Nadal mara ke final Terbuka Barcelona buat kali kesembilan selepas menewaskan pemain Jerman, Philipp Kohlschreiber 6-3 6-3 dalam aksi separuh akhir, awal pagi tadi.

Pemain nombor lima dunia dari Sepanyol yang dalam misi memburu gelaran ke-49 di gelanggang tanah liat, akan menentang juara bertahan, Kei Nishikori pada aksi final selepas pemain Jepun itu menewaskan Benoit Paire dari Perancis 6-3 6-2.

Nadal bakal menyamai rekod legenda tenis Argentina, Guillermo Vilas yang merekodkan 49 gelaran juara di gelanggang tanah liat jika dia menang ke atas Nishikori.

"Hari ini (awal pagi tadi) saya bermain dengan corak permainan paling buruk dalam kejohanan ini. Saya tidak suka dengan cara saya bermain kerana terlalu banyak kesilapan yang saya lakukan," kata bekas pemain nombor satu dunia itu.

"Saya melakukan kesilapan menerusi pukulan kilas saya tetapi apa yang penting juga saya hanya melepaskan satu break point sepanjang perlawanan. Itu satu-satunya perkara yang positif dalam perlawanan hari ini".

Nadal yang menjuarai Masters Monte Carlo minggu lalu, berkata disebabkan terlalu banyak menghadapi perlawanan ia menjejaskan prestasinya ketika berdepan Kohlschreiber.

"Saya beraksi dalam kejohanan untuk tempoh dua minggu berturut-turut dan ia adalah biasa bagi saya apabila mengalami hari yang buruk. Saya harap esok (awal pagi esok) saya boleh melakukan yang lebih baik," kata Nadal.

Nadal sudah memenangi Terbuka Barcelona sebanyak lapan kali sejak 2005 dan kali terakhir pada 2013.

Mengulas mengenai aksi berdepan Nishikori, Nadal percaya pemain nombor enam dunia itu akan memberi ujian sebenar buat dirinya.

"Dia melalui tahun yang cemerlang, dia pemain yang laju dan sukar untuk ditewaskan. Dia tidak memberikan kamu masa untuk membalas dan dia salah seorang pemain terbaik dunia," kata Nadal. - Reuters

Berita Harian X