Ahad, 24 April 2016 | 7:58am

Suarez bantu Barca 'gigit' Gijon


LUIS Suarez. - Foto EPA

MADRID: Luis Suarez meledak empat gol untuk kali kedua dalam tempoh empat hari bagi membantu Barcelona kembali berada di puncak La Liga dengan kemenangan 6-0 ke atas Sporting Gijon 6-0, awal pagi tadi.

Pesta gol Barca yang dibantu tiga jaringan penalti, membantu Barca kembali bangkit daripada tiga kekalahan liga berturut-turut selepas membenam Deportivo la Coruna 8-0 pertengahan minggu lalu.

Jaringan lapan gol dalam tempoh seminggu dilakukan Suarez itu sekali gus meletakkan dirinya mendahului tiga gol di depan Cristiano Ronaldo dalam perebutan gelaran penjaring terbanyak La Liga.

"Saya agak terkejut," kata Suarez. "Saya hanya mahu menikmati permainan dan jaringan itu membantu pasukan di babak kedua selepas kami berdepan kesukaran di babak sebelumnya.

"Kami tidak bermain dengan kelajuan biasa dan di babak pertama kami sedar yang kami tidak bermain dengan baik. Di babak kedua, kami menunjukkan yang kami perlu bermain dengan bersungguh-sungguh di sepanjang masa."

Lionel Messi membuka tirai jaringan perlawanan buat Barca menerusi tandukan pada minit ke-12 sebelum Suarez menjaringkan gol ke-50 peribadinya di halaman sendiri, 25 minit kemudian.

Pemain dari Uruguay itu menambah dua lagi jaringan menerusi sepakan penalti selepas kekasaran dilakukan Roberto Canella dan Antonio Sanabria menjatuhkan Neymar.

Neymar melunaskan sepakan penalti ketiga Barca selepas Ognjen Vranjes dengan ketara melakukan kekasaran kedua, menolak pemain Brazil itu.

Suarez memuktamadkan keputusan perlawanan selepas menerima hantaran daripada Messi pada minit ke-88. - AFP

Berita Harian X