Ahad, 24 April 2016 | 6:32am

Strategi kempen ampuh pikat pengundi

BAGI menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-11 nanti, Barisan Nasional (BN) Sarawak pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem sudah sebaik mungkin mempertimbangkan banyak faktor sebelum memuktamadkan 82 calonnya. Antaranya, kehendak suara akar umbi dan keupayaan calon untuk memastikan kemenangan pada 7 Mei.

Suara rakyat bukan sahaja berhak didengar, malah wajib didengar jika BN mahu kemenangan di kawasan terbabit, sesuai dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa zaman kerajaan tahu segala-galanya sudah berlalu. Tidak dinafikan, berdasarkan beberapa data penyelidikan, BN akan terus memenangi pilihan raya negeri ke-11.

Persepsi itu membayangkan bahawa mereka percaya bahawa pakatan pembangkang akan berdepan kesukaran kali ini, lebih-lebih lagi dengan populariti Adenan yang mencecah awan. Namun, penanda aras utama sebenarnya ialah sejauh mana Adenan dapat merampas balik kerusi majoriti Cina daripada genggaman DAP?

Dijangka BN mampu memenangi sekurang-kurang 65 kerusi dan maksimum 70 kerusi dalam pilihan raya yang menyaksikan pertarungan sengit di beberapa kerusi, termasuk di luar bandar. Kini, ada 23 kerusi hitam bagi BN, tetapi dengan strategi betul, menjelang hari pengundian, jumlah itu dijangka berkurangan.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) tidak akan berdepan masalah untuk memenangi semua kerusi. Bagaimanapun, isu berkaitan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan antara Parti Progresif dan Demokratik Sarawak (SPDP) dengan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) boleh dianggap duri dalam daging.

Perlu siap sedia hadapi sabotaj

Meskipun strategi calon langsung untuk seketika dapat meredakan masalah, itu bukan jaminan mutlak tidak akan timbul masalah. Yang pasti, individu dan golongan yang kecewa akan melakukan sabotaj, termasuk keluar parti, bertanding sebagai calon Bebas, tidak memberi sokongan dan kerjasama kepada parti komponen BN, malah mungkin menaja calon serta kempen calon terbabit.

Kalau pada 2011, ada 41 calon Bebas, kali ini, dijangka jumlahnya bertambah, apalagi dengan kerusi sudah bertambah daripada 71 kepada 82 kerusi. Tetapi, pilihan raya ini bukan untuk calon Bebas, dengan semua mereka dijangka tewas dan lebih setengah hilang wang pertaruhan.

Bagi pengundi Bumiputera di luar bandar, siapa yang menggunakan lambang BN, parti itulah yang bakal disokong oleh mereka.

Sebaliknya, bagi SUPP-UPP, isunya lebih rumit. Meskipun kemungkinan akan berlaku sabotaj di kawasan SPDP-TERAS, sabotaj itu dijangka tidak seburuk di kawasan SUPP-UPP.

Ada 12 hari untuk berkempen dalam pilihan raya ini. Sudah tentu BN mempunyai strategi ampuh untuk meleraikan sebarang kekusutan pada peringkat akar umbi, termasuk bagaimana mengatasi isu yang bergolak. Pendekatan terbaik adalah turun ke kawasan tertentu yang bermasalah untuk menjelaskan isu berkenaan, sekali gus menangkis wacana pembangkang dengan data, fakta dan dalil konkrit.

Perjelas isu utama

Menyedari bahawa isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah isu utama merentasi etnik dan kawasan, maka pakar strategi dan juru kempen perlu tangani isu itu dengan berkesan. Sesiapa yang berkempen perlu menyentuh isu berkenaan, dengan memberi penerangan mengenai kebaikan sistem percukaian itu.

Justifikasi keuntungan yang diperoleh oleh Sarawak dan Sabah sejak berada di Malaysia perlu ditekankan, lebih-lebih lagi daripada kajian didapati bahawa majoriti responden mempunyai persepsi bahawa Sarawak tidak dilayan dengan adil sejak pembentukan Malaysia pada 1963.

BN perlu menjelaskan implikasi dan risiko jika Sabah, Sarawak keluar dari Malaysia. Golongan ini perlu diberi pengetahuan mengenai sejarah pembentukan Malaysia dan masa depan Sarawak dan Sabah dalam Malaysia. Autonomi yang dituntut Adenan, bukan bermaksud sedemikian.

Manifesto kerajaan negeri perlu mengambil kira isu berkaitan kepentingan rakyat, dasar dan langkah yang sudah dan akan diambil oleh Ketua Menteri. Kandungan manifesto, gaya penulisan, persembahan, malah reka bentuk perlu lebih menarik, segar dan kreatif, bukan seperti dalam PRN ke-10. Sudah tentu manifesto yang terlalu banyak teks tidak sesuai.

Kita mengharapkan poster calon yang lebih kreatif dan elak menggunakan 'gambar pasport.' Kain rentang, papan iklan dan bahan kempen perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan diletakkan di lokasi strategik dengan menggunakan slogan sesuai.

Hakikatnya, semua jenis media, tidak kira konvensional atau media baharu dan media sosial perlu digembleng kerana setiap satu mempunyai kelebihan dan sasarannya sendiri, dengan media tradisional seperti televisyen dan radio, memainkan peranan utama di kawasan luar bandar.

Berita Harian X