Sabtu, 23 April 2016 | 12:28pm

Tidak tahu lesen memandu palsu


ANTARA kenderaan perdagangan yang diperiksa dalam operasi bersepadu di Hentian Rehat dan Rawat (RNR), Gunung Semanggol arah selatan. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

BUKIT MERAH: Seorang pemandu lori yang menggunakan lesen memandu palsu antara 18 orang yang ditahan dalam operasi bersepadu di Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Gunung Semanggol arah selatan, malam tadi.

Pemandu berusia 28 tahun itu memberi alasan tidak tahu lesen memandu dimilikinya adalah palsu.

Ketua Trafik Unit Penguatkuasaan Peronda Lebuh Raya (EMPV) Zon Utara Bukit Aman, Asisten Superintendan Mohd Hazil Reza Mohd Ghazali, berkata operasi bermula jam 9 malam dan berakhir jam 12 tengah malam tadi.

"Operasi membabitkan 86 anggota pelbagai agensi itu menahan lima pemandu lori dan bas yang dikesan positif dadah serta 12 tangkapan warga asing," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 220 kenderaan perdagangan diperiksa dan 49 saman dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan.

Dalam operasi yang pertama kali disertai Jabatan Imigresen, kita menahan 12 warga asing iaitu lima rakyat Bangladesh, tiga Myanmar dan masing-masing seorang warga Thailand, Pakistan, Indonesia dan Nigeria.

"Antara kesalahan dikesan ialah tidak memiliki permit perjalanan sah, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas lawatan sosial," katanya.

Berita Harian X