Sabtu, 23 April 2016 | 11:37am

Musim berjaya jika menang Piala FA - Van Gaal

LOUIS van Gaal. - Foto EPA

LONDON: Pengurus Manchester United, Louis van Gaal, berkata kelab itu dianggap berjaya andai menjuarai Piala FA musim ini biarpun gagal layak ke saingan Liga Juara-Juara.

Tugas pengendali di Old Trafford terbukti sukar selepas persaraan Alex Ferguson tetapi pengganti kepada David Moyes itu memulakan kempen pertamanya bersama The Red Devils dengan positif apabila menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tempat keempat musim lalu.

Bagaimanapun, kempen musim kedua Van Gaal serba tidak menjadi dan kemungkinan besar United terlepas tiket ke Liga Juara-Juara biarpun ketika ini berjaya merapatkan jurang kepada dua mata dengan penghuni tangga keempat.

Peningkatan dipamerkan anak buah sejak kebelakangan ini sedikit sebanyak meredakan kritikan terhadap pengendali dari Belanda itu serta masa depannya yang sering menjadi tumpuan.

Hanya satu cara boleh menyelamatkan kerjaya Van Gaal iaitu dengan merangkul trofi Piala FA musim ini.

United akan bertemu Everton di Stadium Wembley malam ini dalam aksi perebutan tempat ke final Piala FA dengan Van Gaal mensasarkan gelaran pertama kelab itu sejak 2004 - kejuaraan pertama selepas era Ferguson.

"Saya fikir ia adalah satu kejayaan besar apabila kamu memenangi gelaran juara," kata Van Gaal ketika ditanya sama ada ia akan menjadi musim yang berjaya buat kelab itu jika mereka menamatkan saingan liga di tempat kelima tetapi memenangi trofi.

"Namun, untuk kelab ini apa yang lebih penting adalah layak ke Liga Juara-Juara kerana kami perlu membuktikan kemampuan kami pada peringkat yang tertinggi. Inilah matlamat kami".

Andai menjuarai Piala FA, ia akan menyaksikan Van Gaal meneruskan kegemilangan dengan menjulang trofi dalam setiap kelab dibimbingnya, termasuk bersama Ajax yang menjuarai Liga Juara-Juara, Liga Divisyen Dua di Barcelona dan juara liga bersama AZ Alkmaar dan Bayern Munich. - Agensi

Berita Harian X