Sabtu, 23 April 2016 | 8:05am

Anfield perlu sambut Benitez - Klopp


JURGEN Klopp. - Foto AFP

LONDON: Penyokong Liverpool perlu memberi sambutan hangat kepada bekas pengendali, Rafa Benitez yang kembali ke Anfield bersama Newcastle United, kata pengendalinya, Jurgen Klopp.

"Dia adalah pengurus yang berjaya, individu yang baik. Berilah sokongan yang kuat daripada biasa, itu adalah cara saya untuk mengalu-alukan kedatangan kawan lama saya," kata Klopp yang mahu mengatasi pencapaian Benitez di Liverpool.

"Dia masih tinggal sekitar sini, tiada siapa patut melupakan detik bermakna ini," katanya.

Pengendali dari Sepanyol, Benitez menghabiskan enam tahun di Liverpool dan berjaya membawa kelab itu meraih gelaran Liga Juara-Juara pada 2005 apabila mereka kembali bangkit daripada ketinggalan 0-3 sebelum menang menerusi penentuan sepakan penalti ke atas AC Milan dalam aksi final.

Dia juga membawa The Reds mara ke final pada 2007, meraih gelaran juara Piala FA 2006 dan sentiasa menjadikan Liverpool pencabar utama kejuaraan Liga Perdana Inggeris biarpun gagal memenanginya.

Benitez yang pernah mengendalikan Inter Milan dan Real Madrid selepas meninggalkan Liverpool kini berdepan cabaran berbeza apabila perlu berusaha memastikan Newcastle kekal bersaing dalam liga utama selepas menggantikan tempat Steve McClaren.

Ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai apabila kemenangan ke atas Swansea City dan seri dengan Manchester City menghidupkan kembali peluang mereka ketika berbaki empat perlawanan musim ini.

"Mereka tidak kelihatan seperti pasukan di zon penyingkiran tetapi mereka menunjukkan betapa sukarnya saingan dalam liga ini. Ia agak sukar untuk mengubah haluan," kata Klopp yang menyaksikan anak buahnya ketinggalan lima mata di belakang penghuni tangga kelima, Manchester United dengan berbaki satu perlawanan di tangan.

"Mereka kini dalam prestasi terbaik tetapi kami mahu mengutip mata penuh di sini dan kami akan buktikan". - Reuters

Berita Harian X