Jumaat, 22 April 2016 | 9:47pm

El-Nino jejaskan operasi resort di Bukit Merah


KEADAAN di Kampung Air, Bukit Merah yang terjejas akibat El-Nino. - Foto Supian Ahmad

FENOMENA El-Nino yang melanda daerah Kerian menyebabkan Tasik Bukit Merah susut sehingga turut menjejaskan operasi taman tema Bukit Merah Laketown Resort. - Foto Supian Ahmad

BUKIT MERAH: Fenomena El-Nino yang melanda daerah Kerian sehingga menyusutkan Tasik Bukit Merah bukan sahaja meresahkan golongan pesawah tetapi turut memberi kesan kepada operasi taman tema, Bukit Merah Laketown Resort (BMLR).

Malah, ia turut menyukarkan kehidupan 24 Orang Utan yang ditempatkan di Pulau Orang Utan di taman tema itu berikutan bekalan makanan dan ubat-ubatan terpaksa dihantar menggunakan kayak selepas bot tidak dapat digunakan kerana air tasik di BMLR sudah kering.

Pengurus Besar Kumpulan MK Land Hotel dan Resort, Kamal Huessein, berkata Pulau Orang Utan juga sudah ditutup kepada pengunjung sejak 11 April lalu manakala pengunjung ke chalet atas air juga mengalami penurunan mendadak.

"Chalet berkenaan biasanya gemar disewa pemancing bersama keluarga pada hujung minggu kerana mereka boleh mengail dari balkoni hingga mampu menaikkan ikan seberat tiga kilogram tetapi sekarang tidak boleh lagi kerana air sudah kering dan ramai pemancing mengadu ikan seperti toman dan kaloi sudah lenyap sama sekali," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pengurus Operasi BMLR, Haris Fadzillah Hamat, berkata hingga kini, bilangan pengunjung ke BMLR merosot 50 peratus, meskipun pelbagai tawaran diskaun diberikan bagi menarik kehadiran pengunjung.

Katanya, hampir setiap hari suhu dicatatkan di sekitar BMLR mencecah 38 darjah Celsius dan pihaknya terpaksa mengambil inisiatif tambahan bagi melindungi lebih 50 spesies haiwan yang diletakkan dalam BMLR 'Eco-park'.

"Di sebalik kekurangan kehadiran pengunjung, kami mengambil peluang ini untuk menjalankan kerja-kerja menaik taraf taman tema air bagi fasa pertama bernilai RM700,000," katanya.

Di sebalik keadaan paras air takungan Empangan Kolam Bukit Merah semakin kritikal, Haris Fadzillah menegaskan bekalan air untuk kegunaan taman tema air adalah disalurkan daripada Lembaga Air Perak (LAP) dan tidak menggunakan bekalan air terus daripada Empangan Kolam Bukit Merah.

Sementara itu, Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian, Ir Hasmi Mat, berkata keadaan paras air kolam takungan Tasik Bukit Merah semalam terus merosot kepada 6.09 meter berbanding 6.12 meter kelmarin.

Berikutan itu, katanya, mulai semalam bekalan air ke sawah yang sudah bertanam dihentikan buat sementara waktu dan air dari kolam takungan Tasik Bukit Merah hanya untuk kegunaan air minum dan domestik sahaja.

Beliau berkata, Operasi Pembenihan Awan (OPA) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia kini masih diteruskan di kawasan Empangan Bukit Merah dan sekitarnya tetapi tidak banyak awan kumulus yang boleh membawa hujan.


KEADAAN di Jeti Pulau Orang Utan yang terjejas akibat fenomena El-Nino. - Foto Supian Ahmad

Berita Harian X