Khamis, 30 Oktober 2014 | 2:34pm

Khidmat Rooney ditagih Van Gaal pertembungan tetangga Manchester


WAYNE Rooney (duduk, tengah) ketika menyaksikan Manchester United bertemu Chelsea di Old Trafford, Ahad lalu. - Foto AP

LONDON: Manchester United mengalu-alukan kehadiran semula kapten, Wayne Rooney daripada penggantungan menjelang pertembungan tetangga menentang Manchester City, Ahad ini sambil berharap penyerang England itu menambah jumlah rekod jaringannya.

Rooney yang terlepas tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) akibat penggantungan bulan lalu begitupun perlu terlebih dulu pulih daripada kecederaan kecil di kakinya yang dialami ketika sesi latihan.

Sepanjang 22 pertemuan tetangga menentang City, Rooney memegang rekod penjaring terbanyak dengan meledakkan 11 gol.

Dan kehadiran semula Rooney menambah keyakinan buat pengurus United, Louis van Gaal selepas United sekadar seri 1-1 menentang Chelsea di laman sendiri hasil jaringan pada masa kecederaan Robin van Persie.

"Ia pemberi semangat yang besar buat kami untuk mendapatkan kembali khidmatnya," kata pertahanan United, Luke Shaw. "Ia sesuatu yang dia tidak sabar lakukannya. Dia tidak gemar melihat di tempat duduk pemain."

Selepas kempen mengecewakan bersama David Moyes musim lalu, United yang juga juara 20 kali Liga Inggeris berdepan kempen goyah musim ini dan mengharungi enam perlawanan tanpa kemenangan, keputusan terburuk dalam tempoh 18 tahun.


PENGURUS Manchester United, Louis van Gaal . - Foto AP

Bagi Van Gaal bersama beberapa muka barunya, ia adalah pertembungan tetangga Manchester yang pertama buat mereka namun Shaw, yang dipikat daripada Southampton musim ini sedar ketegangan pertembungan itu nanti.

"Ia agak jelas apa makna perlawanan ini kepada peminat-peminat dan kelab ini," kata pemain berusia 19 tahun itu. "Saya tidak fikir saya perlu diberitahu mengenainya seperti pemain yang lain (pemain baru) kerana mereka juga pasti sedar.

"Ia adalah perlawanan yang besar buat sesiapa saja yang terbabit dengannya. Kami perlu bangkit pada Ahad," katanya.

Begitupun, United ketika ini seakan terpaksa membayar dengan harga mahal perubahan besar yang dilakukannya, musim ini apabila terperosok ke tangga kelapan liga dengan mengumpul 13 mata, ketinggalan 10 mata di belakang Chelsea yang menghuni puncak liga.

City dalam pada turut bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaik dan berdepan kekecewaan apabila tumbang 1-2 kepada West Ham, minggu lalu dan sekadar mengumpul 17 mata.

Dan skuad bimbingan Manuel Pellegrini diburukkan dengan penyingkiran dalam kempen Piala Liga Inggeris, awal pagi tadi kepada Newcastle United. - Reuters

Berita Harian X