Jumaat, 22 April 2016 | 3:09pm

Guli dipercayai punca pelajar diserang histeria


Sesi persekolahan berjalan seperti biasa setelah kejadian histeria yang berlaku pada minggu lalu yang menyebabkan lebih 50 pelajar dan beberapa orang guru dirasuk sehingga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 2 diarahkan mengambil cuti peristiwa. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta UMNO Pengkalan Chepa, malam tadi mengadakan solat hajat bagi 'membersihkan' kawasan itu daripada gangguan yang melanda sejak kelmarin.

Sehingga semalam, lebih 30 pelajar dan guru diserang histeria menyebabkan sesi persekolahan semalam tamat lebih awal bagi mengelak keadaan menjadi lebih teruk.

Kejadian jam 10 pagi kelmarin dikatakan bermula apabila tiga pelajar yang berada dalam bilik kokurikulum melihat ratusan biji guli bertaburan, seolah-olah dibaling.

Pelajar terbabit mengutip dan menyimpannya dalam almari sebelum kejadian sama berulang.

Tidak lama kemudian, ketiga-tiga pelajar berkenaan diserang histeria sebelum berjangkit kepada 17 rakan lain.

Kejadian berkenaan berlarutan sehingga waktu petang apabila 18 lagi diserang histeria termasuk guru.

Semalam, lapan lagi pelajar diserang termasuk beberapa mangsa berulang.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) SMK Kemumin, Azmi Abdullah, berkata pihaknya mengambil inisiatif mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin bagi membersihkan kawasan itu daripada gangguan.

"Seorang guru agama yang menyertai solat hajat malam tadi mengambil keputusan membuang guli yang dikatakan menjadi punca histeria itu ke laut di Pantai Cahaya Bulan (PCB)," katanya.

Sebelum ini, SMK Pengkalan Chepa 2 menjadi tumpuan sejak 11 April lalu apabila lebih 50 pelajar dan guru sekolah itu diserang histeria.

41 dibaca
Berita Harian X