Jumaat, 22 April 2016 | 2:57pm

Polis temui dadah dalam sekatan jalan raya


KETUA Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif (kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas dalam sekatan jalan raya di Kilometer 14, Jalan Seremban-Tampin, awal pagi semalam. - Foto Iqmal Haqim Rosman

REMBAU: Polis menemui dadah seberat 1,359 gram bernilai RM30,000, dalam sekatan jalan raya di Kilometer 14, Jalan Seremban-Tampin, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif, berkata dadah jenis heroin itu ditemui dalam sebuah kereta PROTON Iswara dinaiki dua lelaki berusia 33 dan 45 tahun pada kira-kira jam 1.40 pagi.

Hasil pemeriksaan, katanya, tiga bungkus dadah ditemui di but kereta berkenaan.

"Polis turut menemui alat penimbang digital dalam laci kereta dinaiki dua lelaki yang berasal dari Kuala Pilah itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, kedua-dua suspek direman enam hari mulai semalam untuk siasatan lanjut manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X