Jumaat, 22 April 2016 | 12:10pm

Ops Samseng: Lebih 300 penunggang motosikal ditahan

ALOR SETAR: Lebih 300 penunggang motosikal ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di sekitar bandar raya ini, awal pagi tadi.

Kebanyakannya ditahan di sekitar Lebuhraya Darul Aman di Jalan Alor Kanchut di sini, dalam operasi bermula jam 1 pagi itu selepas dikesan melakukan pelbagai aksi berbahaya termasuk menjadikan jalan raya sebagai litar lumba.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Rohana Omar, berkata 143 saman dikeluarkan ke atas penunggang motosikal membabitkan pelbagai kesalahan.

"Operasi bertujuan mengesan mereka yang menunggang secara berbahaya sekitar bandar raya ini, selain menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba.

"Dalam operasi ini, sebanyak 270 motosikal diperiksa dengan 69 daripadanya disita kerana kesalahan tiada lesen memandu, perlindungan insurans dan cukai jalan," katanya.

Operasi lima jam itu disertai dua pegawai dan 28 anggota polis trafik dari Cawangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, IPD Kubang Pasu dan IPD Padang Terap.

Berita Harian X