Jumaat, 22 April 2016 | 12:08pm
IBU Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jalan Raja Laut. - Foto Sairien Nafis

Buat pengeluaran perumahan, pendidikan menerusi e-Pengeluaran - KWSP

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperluaskan kemudahan perkhidmatan e-Pengeluaran untuk merangkumi Pengeluaran Pendidikan yang membolehkan ahlinya mengemukakan permohonan menerusi dalam talian untuk mengeluarkan simpanan KWSP.

Pengeluaran Pendidikan ini merupakan pengeluaran kedua selepas Pengeluaran Perumahan menerusi e-Pengeluaran yang menyaksikan pertambahan jumlah penyertaan institusi perbankan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP Datuk Mohd Naim Daruwish, berkata e-Pengeluaran merupakan perkhidmatan terbaru KWSP yang membolehkan ahli yang mempunyai i-Akaun mengemukakan permohonan pengeluaran mereka pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

"Setiap suku tahun, jumlah permohonan pengeluaran, terutama Pengeluaran Perumahan mencatatkan peningkatan, dan justeru itu kami melihat perlunya untuk memudahkan proses dan memendekkan tempoh pengeluaran menerusi e-Pengeluaran," katanya menerusi satu kenyataan.

Sejak diperkenalkan pada 2013 sehingga April 2016, sejumlah 64,297 permohonan untuk pelbagai jenis pengeluaran telah diserahkan melalui e-Pengeluaran, dengan RM32.35 juta diluluskan.

KWSP juga mendapati lebih banyak institusi kewangan menyertai dalam e-Pengeluaran, termasuk RHB Islamic, Maybank, Bank Islam, Oversea-Chinese Banking Corporation, Bank Simpanan Nasional, Ambank, dan United Overseas Bank, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X