Jumaat, 22 April 2016 | 12:04am

Tauke cari lelaki mirip Pak Yus


PEMERGIAN pelawak popular, Pak Yus atau nama sebenarnya Yussry Edoo, 39, akibat sesak nafas pada 30 November tahun lalu meninggalkan kesan mendalam buat rakan baiknya, Tauke.

Artis komedi yang dilahirkan dengan nama Zamatul Amri Zakaria, 40, dalam nada sebak berkata dirinya reda dengan suratan takdir dan ajal yang ditetapkan Tuhan.

Biarpun sukar untuk beliau menerima kematian mengejut teman seperjuangannya itu, Tauke bangkit meneruskan sisa hidup sebagai anak seni.

"Sukar untuk saya menjelaskan rasa kekosongan dalam hidup selepas pemergian Pak Yus, namun saya menerima suratan takdir dengan reda. Inilah tahun pertama saya berjuang sebagai pelawak di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM) tanpa kehadiran arwah.


Tauke dan Yus dalam satu adegan di MLM

Kenangan Tauke dan Yus di Maharaja Lawak Mega

ANTARA kenangan Tauke bersama Pak Yus ketika membuat persembahan dalam Maharaja Lawak Mega.

"Bukan MLM saja, malah banyak lagi undangan yang menginginkan Jambu terus beraksi, namun kita perlu menerima hakikat Allah lebih menyayangi Pak Yus.

Saya sendiri kembali ke pentas MLM menggunakan jenama LOL yang membawa maksud Lots of Love.

"Kumpulan ini dianggotai oleh saya, Angah dan Ajak daripada kumpulan Shiro. Idea menubuhkan kumpulan ini tercetus sebagai tanda cinta dan rindu kami terhadap arwah Pak Yus yang terlebih dulu dijemput Tuhan.

LOL juga bebas dianggotai sesiapa saja sekiranya seorang daripada kami tiada," katanya kepada BH.

Bersama Yus sebelum ini, kedua-duanya memperkenalkan imej merah jambu yang pada dasarnya jauh bertentangan dengan sikap kelelakian dan lawak sinikal mereka.

Bagaimanapun bersama jenama Jambu, mereka mencipta keserasian dan ledakan di arena komedi negara, serta diingati sebagai penghibur yang manis di jiwa khalayak.


TAUKE atau nama sebenar Zamatul Amri Zakaria. - Foto Saifullizan Tamadi

KUMPULAN LOL yang dianggotai oleh Tauke, Angah dan Ajak Shiro.

Terbaharu, kecoh mengenai seorang jejaka yang dikatakan mirip Pak Yus dan menjadi viral di media sosial. Tauke sendiri mengakui menyimpan niat untuk bertemu dengan lelaki yang tinggal di negeri Cik Siti Wan Kembang berkenaan.

"Saya ada melihat persamaan pada wajah lelaki itu yang mirip Pak Yus, namun belum berkesempatan untuk bertemu dengannya. Saya sudah mendapatkan butiran lanjut mengenai lelaki terbabit dan memang berhajat untuk berjumpa dengannya dalam tempoh terdekat.

"Kekangan masa menjadi antara sebab mengapa saya masih belum bertemu dengannya. Lagipun difahamkan beliau tinggal di Kelantan dan sukar untuk bertemu dengannya tanpa perancangan yang teliti.

"Saya mahu duduk berbincang dan mengenali lelaki itu dengan lebih dekat lagi. Insya-Allah, saya berharap rancangan yang dibuat oleh saya dapat dilaksanakan," kata Tauke.

Dalam perkembangan terkini, Tauke meluahkan penghargaan dipilih sebagai pengacara untuk program terbaharu, Dangdut Star, bersama-sama kumpulan yang semakin mencipta nama di arena muzik, De Fam.

Program terbabit diterbitkan bukan sekadar untuk mengetengahkan bakat dalam muzik dangdut, sebaliknya mengembalikan semula kegemilangan genre berkenaan seperti pernah disaksikan lebih sedekad lalu.


10 peserta Dangdut Star bersama barisan juri tetap dan hos. - Foto Saifullizan Tamadi

Program yang menampilkan sepuluh penyanyi tempatan iaitu Rojer (Mohd Rozaidy Shukry), Fitri (Fitri Hiswady), Felix (Felix Agus), Zarith (Zarith Shuhada), Aishah (Siti Aishah), Wanie (Azmahirwani), Elda (Elda Susanty), Fiesha (Norerinafisha) dan Zizi (Nurfazalah) bersaing merebut gelaran juara itu bakal bersiaran secara langsung bermula 27 April ini.

"Alhamdulillah saya diberikan kepercayaan untuk menjayakan program Dangdut Star bersama De Fam. Biarpun kami masih baharu, namun saya berharap penonton dapat menerima secara terbuka gandingan unik kami sebagai hos program ini.

"Sesi rakaman program itu berjalan dengan lancar, hasil perbincangan bersama. Masing-masing memang ingin memberikan yang terbaik sebagai pengacara.

"Walaupun De Fam dianggotai oleh tiga orang, namun kami memastikan gandingan ini tidak kelihatan kekok bersama," kata Tauke.

542 dibaca
Berita Harian X