Khamis, 21 April 2016 | 1:22pm

KPDNKK rampas alat, katrij bernilai RM600,000

KUALA TERENGGANU: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu merampas 2,000 unit pelbagai peralatan termasuk mesin memproses dakwat dan katrij tiruan bernilai RM600,000 dalam serbuan di tiga lokasi di sini, semalam.

Pengarahnya, Azlan Abdul Samad, berkata serbuan dilakukan ke atas premis di Jalan Bukit, Kampung Pulai Baru dan Jalan Sultan Zainal Abidin selepas menerima aduan daripada beberapa pembekal wakil cap dagangan.

Katanya, rampasan itu adalah yang pertama di Terengganu dan dipercayai untuk diedarkan ke seluruh negara termasuk pejabat kerajaan dan kedai komputer dengan harga lebih murah berbanding pasaran.

"Modus operasi syarikat terbabit ialah membeli katrij kosong secara pukal daripada pembekal dan diisi semula dengan dakwat yang diproses sendiri serta dilabel dengan hologram berjenama pengeluar asal untuk mengaburi mata pelanggan," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Azlan berkata, pihaknya percaya sindiket itu sudah lama menjalankan kegiatan berkenaan berdasarkan rekod pendaftaran syarikat sejak tahun 2008.

"Kami sedang menyiasat dua pemilik syarikat dan seorang pekerja bagi membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu.

Berita Harian X