Khamis, 21 April 2016 | 9:48am

Ihsan tonggak kecemerlangan UPM

SEMALAM saya menyampaikan Perutusan 100 Hari Naib Canselor. Dalam perutusan itu, saya mengambil kesempatan untuk mengetengahkan beberapa agenda dan inisiatif penting kepada warga universiti untuk melonjakkan kecemerlangan Universiti Putra Malaysia (UPM) ke tahap lebih tinggi.

Agenda dan inisiatif ini termasuklah memperkasa bakat dan kepemimpinan, mengungguli pertanian dan meraikan kepelbagaian disiplin, menerajui kelestarian hijau untuk kesejahteraan kampus, membudayakan kesukarelawanan, cabaran pendanaan dan kewangan universiti, kesejahteraan warga kampus dan citra UPM sebagai 'taman ilmu dan pemikiran'.

Usaha untuk merealisasikan agenda dan inisiatif ini bukan satu kerja mudah. Ia sebenarnya memerlukan komitmen dan iltizam tinggi. Lebih penting, usaha ini mesti didasari dengan nilai dan budaya yang tepat dengan memberi penekanan kepada soal kualiti, kesempurnaan, ketelitian kerja dan kecemerlangan dalam budaya kerja warga universiti.

Menurut Islam, semua aspek di atas difahami dan diungkapkan dalam satu istilah yang disebut sebagai ihsan. Secara umum, ihsan merangkumi setiap amal perbuatan atau pekerjaan yang baik, yang dilaksanakan dengan betul, mahir, efisien dan cekap, dengan tujuan mencapai kesempurnaan, mempunyai kualiti tinggi serta kecemerlangan.

Saya percaya nilai ihsan seperti dijelaskan ini perlu diangkat menjadi satu nilai utama universiti, sekali gus tonggak kepada kecemerlangan UPM. Lebih-lebih lagi, nilai ini selari dengan 'profesionalisme' atau kecekapan kerja yang tinggi serta berkualiti untuk menghasilkan kesempurnaan. Penekanan ini juga bermakna kita menolak sikap melakukan pekerjaan 'asalkan siap' yang menyebabkan hasil kerja menjadi tidak sempurna atau juga sebagai 'mediokriti' (mediocrity) berlaku di universiti.

Aspek keterikatan hubungan

Bagaimanapun, konsep ihsan adalah istimewa dan sedikit berbeza kerana ia bukan sekadar berkaitan dengan pelaksanaan kerja semata-mata tetapi membabitkan aspek keterikatan hubungan antara manusia dengan Penciptanya. Keterikatan hubungan antara manusia dengan Pencipta inilah melahirkan sifat serta budaya kerja yang menitikberatkan aspek kualiti, kesempurnaan dan kecemerlangan.

Saya percaya kefahaman ini akan menjadikan ihsan seumpama 'pendinding kendiri' (self-guard), yang dapat mendorong kita untuk melaksanakan pekerjaan dengan penuh integriti, sekali gus memagari diri daripada melakukan kerja sambil lewa atau bertentangan dengan etika. Perlu diingat bahawa integriti bukan sahaja membabitkan isu penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan, tetapi juga pengabaian dalam melaksanakan tanggungjawab serta pembaziran penggunaan sumber.

Perkara ini perlu difahami dengan sebaik-baiknya kerana ada segelintir pihak masih melihat isu integriti hanya berlaku dalam konteks kekuasaan dan pangkat. Malah, pelanggaran integriti hanya difahami berlaku dalam kalangan mereka yang berkedudukan tinggi sahaja. Sebaliknya, integriti membabitkan semua pihak meliputi soal sikap dan tindakan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan.

Dalam konteks di universiti, integriti akademik misalnya sangat penting. Integriti akademik juga berkait rapat dengan nilai teras ahli akademik seperti sentiasa mencari kebenaran, mengejar kecemerlangan, menghormati kepelbagaian ilmu dan ilmuwan serta berkongsi ilmu untuk kepentingan awam. Dalam kata lain, ahli akademik ialah ilmuwan yang memimpin masyarakat, sentiasa menegakkan kebenaran menerusi kebebasan akademik dan berkongsi ilmu dalam kalangan ilmuwan dan dengan masyarakat sebagai intelek awam.

Penekanan soal integriti

Dalam konteks warga universiti yang lebih umum, integriti turut meliputi menghargai serta memelihara kepentingan universiti dan pelanggan, tidak mencemarkan nama baik universiti, dan meletakkan kepentingan universiti melebihi kepentingan diri sendiri. Perkara ini penting kerana ia dapat memelihara reputasi universiti dan mengelak berlakunya konflik kepentingan yang boleh mengancam kedudukan universiti sebagai institusi ilmu yang perlu dihormati.

Integriti juga berkait dengan etika, iaitu pegangan moral yang tinggi selari dengan peraturan kerja, nilai masyarakat dan budaya. Dalam hal ini, warga universiti perlu sentiasa patuh dan akur dengan peraturan dan undang-undang serta menyedari bahawa mereka juga sebahagian daripada masyarakat luar. Perkara ini juga meliputi prinsip untuk tidak menerima hadiah atau keraian daripada pembekal universiti atau pihak berkepentingan. Hal ini penting bagi mengelak wujudnya unsur tidak sihat dan tindakan tidak beretika yang boleh menjejas imej dan reputasi universiti.

Penekanan kepada soal integriti menjelaskan kepada kita pentingnya konsep ihsan menjadi tonggak ke arah kecemerlangan universiti. Saya memilih untuk bercakap soal ini kerana ia perkara asas dan penting untuk membangunkan sebuah universiti dalam erti kata sebenar. Justeru, kita perlu membina warga universiti yang benar-benar memahami tanggungjawab dan menyedari keperluan melaksana tanggungjawab dengan penuh amanah.

Saya percaya seruan untuk membudayakan ihsan dalam kalangan warga UPM seiring dengan tajuk perutusan, iaitu 'Ihsan Tonggak Kecemerlangan' adalah langkah tepat. Ia akan menyuntik azam dan pemikiran baharu dalam budaya kerja warga universiti untuk bersama-sama memajukan UPM. Saya yakin, melalui pengamalan nilai ihsan ini, usaha melonjakkan kecemerlangan UPM sebagai institusi ilmuwan tersohor dan bereputasi antarabangsa akan menjadi lebih mudah.

39 dibaca
Berita Harian X