Rabu, 20 April 2016 | 10:36pm

Murid Tahun Dua dipercayai dipatuk ular di Rembau


Foto hiasan

REMBAU: Seorang murid perempuan Tahun Dua pengsan disyaki akibat dipatuk ular di Sekolah Kebangsaan (SK) Chembong di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 10 pagi, mangsa dikatakan terjatuh ketika bermain di padang sekolah berkenaan, sebelum tidak sedarkan diri dengan beberapa rakannya mendakwa mereka ternampak ular berhampiran lokasi mangsa rebah.

Sumber berkata, mangsa dihantar ke klinik kesihatan berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) dekat sini, untuk rawatan lanjut.

"Buat masa ini kita difahamkan doktor masih menjalankan pemeriksaan lanjut terhadapnya. Dia berada dalam keadaan sedar dan stabil.

"Kita juga difahamkan doktor mengesan kesan gigitan atau patukan pada bahagian kaki, namun belum dapat memastikan sama ada ia adalah kesan patukan ular," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Rusni Ab Jalil, akan membuat sidang media mengenai kes itu di SK Chembong di sini, pagi esok.

Berita Harian X