Rabu, 20 April 2016 | 8:18pm

De Fam sahut cabaran dangdut


KUMPULAN penyanyi wanita, De Fam. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Kumpulan penyanyi wanita, De Fam mahu mengubah persepsi masyarakat bahawa mereka penghibur urban dengan menerima tawaran mengacarakan program realiti terbitan Astro, Dangdut Star.

Anggota kumpulan itu, Manggis berkata, De Fam berharap gandingan bersama pelawak, Tauke Jambu dalam program terbabit dapat merealisasikan hasrat menjadi penghibur universal.

"Biarpun memperjuangkan genre hip hop, kami mengambil risiko memikul tanggungjawab sebagai pengacara untuk menguji kebolehan.

"Kami ada kelemahan dan kekuatan sendiri untuk berganding bersama Tauke. Itu yang cuba kami tonjolkan kepada penonton program Dangdut Star yang bakal disiarkan pada 27 April ini," katanya kepada BH Online.

Sebagai kumpulan wanita yang baharu berjinak-jinak dalam industri hiburan, De Fam yang turut dianggotai Azira Shafinaz dan Liana Sophia bekerja keras untuk membuka mata semua pihak terhadap keunikan mereka.

Dalam perkembangan terbaharu, De Fam bakal bekerjasama dengan penyanyi dari Singapura untuk single berjudul With You versi Bahasa Malaysia.

Seorang lagi ahli De Fam, Sofia menjelaskan, kumpulan itu bagaimanapun enggan berkongsi butiran lanjut bagi memberi kejutan.

"Kami bakal tampil dengan versi Bahasa Malaysia untuk lagu With You yang akan dinyanyikan bersama penyanyi dari Singapura. Apa yang dapat dikongsi adalah penyanyi itu adalah seorang lelaki.

"Kami akan terbang ke Singapura untuk program promosi pada Jun atau Julai depan. Selain itu, pihak pengurusan merancang memperkenalkan nama kami ke Indonesia," katanya.

31 dibaca
Berita Harian X