Rabu, 20 April 2016 | 5:11pm

Sabah import hingga 280 tan kepak ayam sebulan


KETUA Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (kanan) berbincang bersama Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Yahya Hussin ketika hadir pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Kota Kinabalu, sebentar tadi. - Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Sabah perlu mengimport antara 140 tan hingga 280 tan kepak ayam sebulan bagi memenuhi permintaan tinggi pengguna terhadap produk itu di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin, berkata walaupun negeri ini mencapai tahap sara diri 100 peratus pengeluaran ayam, pengeluar hanya mampu memenuhi 260 tan kepak ayam sebulan.

Beliau berkata, ketika ini permintaan terhadap kepak ayam mencapai antara 400 tan hingga 560 tan sebulan, sekali gus menyebabkan syarikat pengeluar ayam tempatan tidak dapat memenuhi permintaan terhadap produk itu.

Berikutan itu, katanya, kerajaan membenarkan import kepak ayam dari luar negara seperti Belanda bagi memenuhi permintaan pengguna di negeri ini.

"Berdasarkan rekod Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak (JPHPT) Sabah, sebanyak 5,863 tan bahagian ayam diimport pada tahun 2014 dan 4,956 tan pada tahun lalu dengan masing-masing 92.5 peratus dan 99.4 peratus adalah kepak ayam.

"Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 1,384 tan kepak ayam diimport syarikat diberi lesen di Sabah," katanya ketika menggulung perbahasan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, sebentar tadi.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, bagaimanapun berkata, bagi bekalan daging ayam di negeri ini, kapasiti pengeluarannya antara 2.5 juta hingga 2.6 juta ekor sebulan atau 4,125 tan hingga 4,290 tan sebulan.

Sementara itu, beliau berkata, JPHPT sebagai agensi pengeluar permit (PIA) hanya mengeluarkan lesen untuk mengimport daging ayam dari loji luar negara yang diluluskan Jabatan Veteriner dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Sehubungan itu, katanya, import bahagian ayam yang dibenarkan melalui lesen dikeluarkan JPHPT adalah halal.

"JPHPT juga mengamalkan pemeriksaan fisikal veteriner terhadap semua kontena produk ayam atau daging yang dibawa masuk ke Sabah," katanya.

Berita Harian X