Rabu, 20 April 2016 | 12:16am

Militan IS rancang serangan di Eropah

ROME: Militan IS bercadang melakukan serangan ganas di seluruh Eropah musim panas ini, menyasarkan pelancong yang bercuti dengan menyamar sebagai penjual aiskrim dan baju-T, ketua perisikan Itali memberi amaran.

Media Jerman melaporkan, pelampau IS menghantar pejuangnya dengan berpura-pura menjual minuman sebelum meletupkan jaket bom dan bom ditanam di sepanjang pantai pusat percutian di Sepanyol, Perancis dan Itali.

Akhbar harian popular BILD berkata semalam, BND atau agensi perisikan Jerman bersamaan MI6, belajar daripada rakan sejawatannya Itali mengenai komplot IS melakukan pertumpahan darah di pusat percutian.

Menurut laporan, Itali dimaklumkan mengenai rancangan pengganas itu daripada sumber boleh dipercayai di Afrika.

Mereka berkata, bakal penyerang membentuk "pelan konkrit" menyamar sebagai pelarian yang melayan pelancong dengan minuman dan snek atau menjadi penjual aksesori pantai dan baju-T.

BILD berkata, pelan itu membabitkan penggunaan senjata automatik di kawasan pantai penuh sesak, pengebom bunuh diri dan peranti letupan ditanam dalam pasir di bawah kerusi berjemur.

Menurut BILD, pantai yang dikatakan ketua perisikan menjadi sasaran pasti termasuk pusat pelancongan di selatan Perancis, Costa del Sol di Sepanyol dan kedua-dua pantai di Itali. -Agensi

Berita Harian X