Selasa, 19 April 2016 | 7:24pm

Koperasi diminta manfaatkan TPPA


ABDUL Fattah berucap di Kursus Induksi Koperasi Anggota Baru Angkasa Negeri Terengganu dan Kelantan di Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Koperasi di seluruh negara diminta manfaatkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan Komuniti Ekonomi Asean untuk menerokai bidang perniagaan ke peringkat antarabangsa.

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, antara bidang yang perlu diperluaskan koperasi adalah mencari rakan niaga di seluruh negara untuk mengeksport pelbagai produk halal.

Katanya, ahli lembaga pengarah (ALP) perlu berusaha mencari dan menjalin kerjasama dengan syarikat di seluruh dunia untuk dijadikan rakan niaga bagi membantu meningkatkan sumber pendapatan koperasi.

"Sehingga kini, 12,500 koperasi di negara ini mempunyai modal berbayar melebihi RM15 bilion dan memiliki aset sebanyak RM120 bilion serta mampu menjana perolehan sehingga RM37 bilion, layak untuk mencari rakan niaga di peringkat antarabangsa," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kursus Induksi Koperasi Anggota Baru Angkasa Negeri Terengganu dan Kelantan, di sini, petang ini.

Abdul Fattah berkata, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan membuat penetapan untuk mencapai sebanyak RM50 bilion sumbangan koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020.

"Kita yakin sasaran itu dapat dicapai berikutan sumbangan koperasi dalam KDNK tahun lalu sudah mencecah RM37 bilion berbanding hanya RM35 bilion pada tahun 2014," katanya.

Mengulas mengenai koperasi mikro, Abdul Fattah berkata, ANGKASA mengalakkan koperasi yang baru menceburi bidang perniagaan dan menghadapi masalah kekurangan modal, membuat pinjaman RM50,000 dengan Tabung Modal Pusingan (TMP) tanpa cagaran.

Katanya, ANGKASA sebagai badan yang mewakili gerakan koperasi memohon kerajaan meningkatkan TMP kepada RM500,000 bagi membolehkan koperasi melaksanakan perniagaan bernilai tinggi dan berimpak besar.

"Kerajaan juga perlu mengiktiraf koperasi yang terbabit dalam sektor pelancongan dan kesihatan, mendapatkan pinjaman melalui peruntukan disediakan di bawah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)," katanya.

Berita Harian X