Selasa, 19 April 2016 | 4:11pm

SME Corp lulus RM1.05 juta bantu usahawan Bumiputera


Ketua Pegawai Operasi SME Corp Malaysia, Che Nazli Jaapar menandatangani mock cek geran perniagaan sambil disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud (kanan). - Foto Noor Aznida Alias

KUALA TERENGGANU: SME Corp Terengganu meluluskan peruntukan RM1.05 juta dalam bentuk geran perniagaan kepada lapan syarikat Bumiputera di negeri ini yang berpotensi dan berdaya saing tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Roslee Daud, berkata peruntukan itu di bawah Program Pembangunan Keupayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera (BEEP), bertujuan memperkasa ekonomi PKS golongan Bumiputera.

Beliau berkata, lapan syarikat terpilih sudah membuktikan kemampuan mereka termasuk dalam aspek daya saing dan model perniagaan yang baik serta berpotensi mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

"Pada suku akhir pertama tahun ini, kita berjaya menyalurkan peruntukan RM1.05 juta kepada lapan syarikat membabitkan syarikat industri minyak dan gas, percetakan dan makanan yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang masing-masing.

"Justeru, kita harap geran perniagaan ini akan membantu melonjakkan perniagaan mereka, sekali gus menyumbang pendapatan kepada negeri dan negara.

"Tidak dinafikan, sumbangan PKS kepada ekonomi negara amat signifikan kerana ia mewakili 98.5 peratus daripada jumlah perniagaan di negara ini," katanya selepas Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Geran Perniagaan kepada lapan syarikat di negeri ini, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi SME Corp Malaysia, Che Nazli Jaapar dan Pengarah SME Corp Terengganu, Mohamad Ibrahim.

Mengulas lanjut, Roslee berkata, SME Corp Terengganu sudah menyalurkan peruntukan RM23.11 juta melalui geran perniagaan sejak tahun 2007 dan 168 syarikat Bumiputera mendapat manfaat daripadanya.

Jumlah itu, katanya, tidak termasuk pembiayaan RM99 juta yang disalurkan Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) melalui pinjaman mudah.

"Selepas diberi geran, SME Corp akan melakukan pemantauan dan setakat ini, semua syarikat PKS Terengganu yang menerima geran perniagaan menunjukkan prestasi memberangsangkan dan memberi komitmen padu dalam apa juga usaha dijalankan agensi kerajaan bagi meningkatkan pencapaian mereka.

"Saya ingin menggesa sektor PKS negeri ini lebih menguasai teknologi maklumat dan memanfaatkan e-dagang sebagai platform perniagaan mereka," katanya.

21 dibaca
Berita Harian X