Isnin, 18 April 2016 | 4:53pm

Akim jauhi komen negatif di media sosial


PENYANYI, Akim Ahmad dan Stacy. - Foto Shazreen Zamzuri

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Akim Ahmad, 25, memilih untuk tidak mengendahkan komen negatif yang ditinggalkan pada gambar yang dimuat naik olehnya di media sosial.

Akim sebaliknya berkata, beliau mengambil pendekatan untuk menghargai peminat yang memberikan komen membina bagi membantu perjalanan kerjayanya sebagai penghibur.

"Saya akui dulu sering membalas semula komen negatif yang dilemparkan di media sosial, namun mungkin kini saya lebih matang dan tidak cepat melatah seperti dulu. Bagi saya, tidak perlu membebankan kepala dengan aura negatif sebegitu.

"Golongan sedemikian hanyalah sebilangan kecil saja, jadi lebih baik untuk saya fokus kepada 95 peratus yang bersikap positif. Pendekatan mendiamkan diri dianggap sebagai antara satu cara saya menghormati mereka yang bersikap negatif di laman sosial," katanya kepada BH Online.

Mengulas mengenai perkembangan kerjaya, vokalis kumpulan The Majistret itu berkongsi berita dirinya kini sibuk membantu Stacy mencari lagu untuk dimuatkan dalam album terbaharu isterinya itu.

Akim turut meluahkan rasa syukur dengan penerimaan memberangsang oleh peminat terhadap lagu ciptaannya, Romeo, dendangan artis wanita berkenaan.

"Buat masa ini saya membantu Stacy mengumpul bahan untuk album terbaharunya. Biarpun hanya lagu Romeo yang sudah siap dihasilkan, Stacy juga sudah duduk berbincang dengan komposer pilihannya.

"Kami membincangkan konsep bagi memastikan lagu yang dipilih untuk album terbaharu itu berbeza daripada album sebelum ini. Biarpun berbeza genre, namun kami sering bertukar-tukar idea bagi memberikan persembahan terbaik," katanya.

44 dibaca
Berita Harian X