Isnin, 18 April 2016 | 2:46pm

Aladdin labur AS$100 juta bagi promosi, pengiklanan


Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin (tiga dari kanan) menyempurnakan pelancaran Aladdinstreet.com.my hari ini. Turut hadir Pengerusi Aladdin. Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor (dua,kanan) dan Presiden Aladdin Datuk Seri Desmond To (tiga dari kiri). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Aladdin Group, pengendali platform e-dagang halal premium eksklusif pertama di dunia bercadang melabur AS$100 juta (kira-kira RM393 juta) bagi tujuan pengiklanan dan promosi (A&P) platformnya dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengasas Bersama dan Presidennya, Datuk Seri Desmond To berkata, pelaburan besar yang akan disuntik menerusi syarikat proksinya di seluruh dunia adalah untuk mengembangkan jenama platform e-dagang halal dikenali Aladdinstreet di peringkat global.

Katanya, suntikan dana itu juga adalah untuk meneroka potensi pasaran di lebih 50 negara membabitkan lima bilion populasi menjelang tahun 2018.

"Bagi fasa pertama penerokaan pasaran global, Aladdin Group bercadang meneroka pasaran 30 negara utama dunia seperti China dan India membabitkan empat bilion populasi, manakala fasa kedua pula merangkumi 20 negara dengan anggaran satu bilion populasi," katanya ketika ditemui BH selepas pelancaran platform e-dagang Aladdinstreet.com.my di sini, hari ini.

Ia dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Turut hadir, Pengasas Bersama dan Pengerusi Aladdin Group, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor; Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif Aladdin Group, Wesley Ong; Pengerusi Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Tan Sri Dr Syed Jalaluddin Syed Salim; Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah; dan Pengarah Urusan Perbadanan Nasional Bhd (PNS), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainal Khodki Shahabudin.

Dalam majlis sama, Aladdin Group juga menyampaikan sijil rakan niaga kepada kira-kira 50 rakan niaga membabitkan dua kategori perniagaan iaitu produk dan perkhidmatan yang memerlukan persijilan halal dan kategori yang tidak memerlukan persijilan berkenaan.

Aladdin Group ditubuhkan setahun lalu dan beroperasi sejak sembilan bulan lalu menawarkan platform perniagaan seperti mana dipraktikkan oleh syarikat e-dagang terkemuka dunia, Alibaba Group Holding Ltd, namun pendekatannya berbeza kerana mengetengahkan produk dan perkhidmatan halal dan patuh syariah pertama di dunia.

Berita Harian X