Isnin, 18 April 2016 | 9:00am

Aplikasi Ejen Ali dalam format 3D September ini

 


PENGURUS Besar Produk dan Inovasi, Nicholas Sagau Tony Ngimat menunjukkan aplikasi Jalan Jalan Cari Makan (JJCM) dan permainan digital, Ejen Ali . - Foto Nurul Shafina Jemenon

 

KUALA LUMPUR: Media Prima Digital (MPD), anak syarikat Media Prima Bhd (MPB), memperkenalkan produk permainan digital terbaharu, Ejen Ali dengan sasaran lebih 200,000 muat turun dalam tempoh empat hingga lima minggu akan datang.

 

Pengurus Besar Produk dan Inovasi, Nicholas Sagau Tony Ngimat, berkata pelancaran permainan maya, Ejen Ali itu adalah sebahagian perancangan MPD untuk melancarkan 15 aplikasi dan permainan baharu sepanjang tahun ini membabitkan anggaran pelaburan kira-kira RM6 juta.

 

"MPD melancarkan permainan maya Ejen Ali pada bulan lalu dan setakat ini sudah mencatat 100,000 muat turun. Rentetan dari ini, MPD merancang melancarkan permainan Ejen Ali 3D (tiga dimensi) pada September ini.

 

"Ejen Ali adalah produk kebanggaan MPD, apabila kita berjaya mengekalkan kedudukan ketiga Top Game Arcade dan tangga ke-15 di kalangan semua permainan maya dalam Google Playstore," katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.

 

Permainan Ejen Ali dihasilkan menerusi pertandingan Hackathon, di mana ia turut boleh didapati menerusi siri animasi yang dihasilkan Wau Animation Sdn Bhd, terbitan Primeworks Studios yang disiarkan di TV3 mulai 8 April lalu.

 

Permainan maya yang disasarkan kepada golongan berusia 9 hingga 14 tahun itu, bakal dinaik taraf kepada paparan 3D dan boleh dimuat turun mulai September ini selain MPD juga merancang untuk memperkenalkan Ejen Ali versi teknologi Realiti Maya (VR) yang mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

 

Nicholas berkata, MPD juga melaksanakan pelan agresif untuk meneroka kandungan digital dengan bercadang menjalinkan kerjasama dengan pembangun aplikasi dan permainan tempatan di rantau Asia termasuk syarikat dari India dan Singapura.

 

Katanya, Malaysia memiliki ramai pembangun kandungan berbakat yang boleh diketengahkan dan dikomersialkan, namun penerokaan pasaran luar negara juga penting untuk mengukuhkan kedudukan MPD.

 

"Daripada 15 aplikasi dan permainan yang disasarkan kami tahun ini, kami sudah mengenalpasti tujuh daripadanya dengan dua sudah dilancarkan (Jalan Jalan Cari Makan dan Ejen Ali), manakala satu lagi (Ejen Ali 3D) dilancarkan tidak lama lagi.

 

"Kami memiliki banyak kandungan daripada anak syarikat MPB. Dan inilah masa yang sesuai untuk mengembangkan kepada format digital," katanya.

 

Aplikasi Jalan Jalan Cari Makan atau JJCM diilhamkan daripada rancangan televisyen terkenal terbitan TV3 yang sudah menemui penonton sejak 15 tahun lalu.

 

Aplikasi itu bagaimanapun berbeza dengan rancangan yang disiarkan setiap Ahad, jam 12.00 tengah hari dengan ia menampilkan senarai restoran untuk hasil carian yang lebih luas dan pelbagai.

 

Aplikasi JJCM dan permainan Ejen Ali, masing-masing mengambil masa empat dan tiga bulan untuk disiapkan.

Berita Harian X