Isnin, 18 April 2016 | 8:00am

Pengkomersialan digital JJCM, Ejen Ali - MPD


APLIKASI Jalan Jalan Cari Makan (JJCM). - Foto ihsan amanz.com

KUALA LUMPUR: Media Prima Digital (MPD), anak syarikat Media Prima Bhd (MPB), memperkenalkan produk terbaharu iaitu aplikasi Jalan Jalan Cari Makan (JJCM) dan permainan digital, Ejen Ali dengan sasaran 100,000 muat turun menjelang akhir tahun.

Pengurus Besar Produk dan Inovasinya, Nicholas Sagau Tony Ngimat, berkata dua produk baharu itu adalah sebahagian perancangan MPD untuk melancarkan 15 aplikasi dan permainan baharu sepanjang tahun ini membabitkan anggaran pelaburan kira-kira RM6 juta.

"MPD melancarkan aplikasi JJCM dua minggu lalu dan kami berjaya menerima kira-kira 9,000 muat turun selain membabitkan sejumlah 200 restoran terbabit setakat ini.

"Bagi permainan maya Ejen Ali pula, kita lancarkan pada bulan lalu dan setakat ini sudah mencatat 19,000 muat turun. Rentetan dari ini, MPD merancang melancarkan permainan Ejen Ali 3D (tiga dimensi) pada September ini," katanya ketika ditemui BH di sini, baru-baru ini.

Aplikasi JJCM diilhamkan daripada rancangan televisyen terkenal terbitan TV3 yang sudah menemui penonton sejak 15 tahun lalu.

Aplikasi itu bagaimanapun berbeza dengan rancangan yang disiarkan setiap Ahad, jam 12.30 tengah hari dengan ia menampilkan senarai restoran untuk hasil carian yang lebih luas dan pelbagai.

Sementara itu, permainan Ejen Ali pula dihasilkan menerusi pertandingan Hackathon, di mana ia turut boleh didapati menerusi siri animasi yang dihasilkan Wau Animation Sdn Bhd, terbitan Primeworks Studios yang disiarkan di TV3 mulai 8 April lalu.

Permainan maya yang disasarkan kepada golongan berusia 9 hingga 14 tahun itu, bakal dinaik taraf kepada paparan 3D dan boleh dimuat turun mulai September ini selain MPD juga merancang untuk memperkenalkan Ejen Ali versi teknologi Realiti Maya (VR) yang mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

Aplikasi JJCM dan permainan Ejen Ali, masing-masing mengambil masa empat dan tiga bulan untuk disiapkan.

Nicholas berkata, MPD juga melaksanakan pelan agresif untuk meneroka kandungan digital dengan bercadang menjalinkan kerjasama dengan pembangun aplikasi dan permainan tempatan di rantau Asia termasuk syarikat dari India dan Singapura.

Katanya, Malaysia memiliki ramai pembangun kandungan berbakat yang boleh diketengahkan dan dikomersialkan, namun penerokaan pasaran luar negara juga penting untuk mengukuhkan kedudukan MPD.

"Daripada 15 aplikasi dan permainan yang disasarkan kami tahun ini, kami sudah mengenalpasti tujuh daripadanya dengan dua sudah dilancarkan (JJCM dan Ejen Ali), manakala satu lagi (Ejen Ali 3D) dilancarkan tidak lama lagi.

"Kami memiliki banyak kandungan daripada anak syarikat MPB. Dan inilah masa yang sesuai untuk mengembangkan kepada format digital," katanya.

Ditanya mengenai sumbangan kewangan daripada aplikasi dan permainan yang dilancarkan MPD, beliau berkata, syarikat masih di peringkat perancangan untuk menjadikan produk yang diperkenalkan diterjemahkan kepada pendapatan.

"JJCM dan Ejen Ali adalah produk dari perniagaan kepada pengguna yang boleh dimuat turun secara percuma. Namun, untuk JJCM, kita mengenalpasti bagaimana ia mampu menterjemahkan kepada pendapatan.

"Manakala untuk Ejen Ali, seperti mana permainan maya yang terdapat di pasaran, kita akan menawarkan pembelian beberapa kelengkapan untuk pemain Ejen Ali seperti kuasa tambahan," katanya.

Berita Harian X