Ahad, 17 April 2016 | 2:35pm

Nadal bakal lawan Monfils di final Monte Carlo


RAFAEL Nadal dan Gael Monfils.

MONTE CARLO: Rafael Nadal kembali ke pentas final Monte Carlo Masters buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun hasil kemenangan sukar 2-6, 6-4, 6-2 menewaskan jaguh Britain, Andy Murray, semalam.

Menantinya di final ke-100 Jelajah ATP sepanjang kariernya ialah Gael Monfils yang menewaskan rakan senegaranya dari Perancis, Jo-Wilfried Tsonga 6-1, 6-3.

Ini adalah pentas final ketujuh Nadal di Monte Carlo dan ia hadir dengan rekod mengagumkan 11-2 kemenangan ke atas Monfils namun kejohanan Masters yang kali terakhir dimenangi ialah di Madrid pada 2014.

"Ia adalah minggu paling penting buat saya, berada di final di sini sekali lagi di Monte Carlo, menang menentang lawan yang amat sukar," kata bintang tenis Sepanyol itu.

"Ia adalah keyakinan yang hebat, berita baik bagi saya. Mari kita lihat jika saya dapat bermain di tahap yang terbaik sekali lagi," kata Nadal yang diletakkan pilihan kelima di kejohanan itu.

Kemenangan ke atas Murray yang juga pilihan kedua kejohanan seakan menjadi petanda kebangkitan semula Nadal yang diberi jolokan Raja Gelanggang Tanah Liat selepas bergelut dengan masalah kecederaan sebelum ini.

"Saya tidak mahu bercakap setiap hari mengenai jika saya sudah kembali atau tidak. Saya berada di final Monte Carlo. Ia adalah berita yang hebat.

"Setiap tahun adalah berbeza. Setiap perasaan adalah berbeza. Saya tidak mahu membandingkan diri saya atau cuba untuk menganalisa jika saya sama seperti sebelum ini atau tidak.

"Saya mahu hari ini menjadi lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini dan selepas itu semakin baik. Hanya itu. Kerana itu saya bekerja amat keras setiap hari, ia adalah motivasi saya. Saya tidak mahu berfikir mengenai perkara yang sudah berlalu." - AFP

Berita Harian X