Ahad, 17 April 2016 | 1:45pm

Van Gaal akur desakan untuk United berubah

LOUIS van Gaal.

MANCHESTER: Louis van Gaal mengakui kejayaan terbaru Manchester United dalam usaha memburu tiket ke saingan Liga Juara-Juara tidak cukup untuk mencetus keterujaan di Old Trafford.

Begitupun, pengurus United itu masih percaya kemenangan tipis 1-0 skuad bimbingannya ke atas Aston Villa, semalam yang juga pengesahan kelab lawan itu penyingkiran ke divisyen lebih bawah, musim depan sudah cukup untuk memberi mesej kepada Manchester City dan West Ham.

Ketiga-tiga kelab dijangka bersaing sengit sehingga penghujung saingan musim ini bagi tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Sekali pun persembahan ketika menentang Villa tidak mungkin akan menakutkan pencabarnya itu, Van Gaal berkata kemenangan tipis menerusi Marcus Rashford, 18 mendapat perhatian City dan Hammers.

"Ia adalah gol yang menakjubkan," kata Van Gaal mengenai gol ketujuh Rashford dalam 12 penampilan bersama skuad utama.

"Saya bersetuju kami perlu memberi lebih keseronokan kepada peminat-peminat kami namun apa yang paling penting ialah memenangi perlawanan.

"Kami perlu melihat kepada Manchester City, juga kepada West Ham dan Southampton dan kami sudah menyatakan dengan jelas hari ini yang kami mahu menang."

"Namun sudah tentu ia bukan persembahan terbaik Manchester United musim ini."

Berdepan Villa, Van Gaal membuat lima penukaran daripada skuad yang membawa pasukan itu ke separuh akhir Piala FA termasuk menyenaraikan kapten pasukan, Wayne Rooney dalam kesebelasan utama. - AFP

Berita Harian X