Ahad, 17 April 2016 | 12:13pm

Pochettino kerah Spurs tunaikan impian


MAURICIO Pochettino.

STOKE-ON-TRENT: Mauricio Pochettino mengingatkan pemainnya di Tottenham Hotspur untuk kekal bertenang ketika berdepan Stoke City, awal pagi esok - sehari selepas pertembungan membabitkan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) - Leicester City dan West Ham United, malam ini.

Ketika sepak mula perlawanan di Stadium Britannia, Spurs yang menghuni tangga kedua liga sudah mengetahui sama ada jumlah jarak mata di antara kedua-duanya semakin membesar atau mengecil.

Andai Leicester tewas di tangan Hammers, defisit jurang mata akan mengecil kepada empat mata jika Stoke berjaya ditumbangkan Spurs dan terus memberi peluang buat kelab itu membawa pulang trofi EPL ke White Hart Lane buat kali pertama dalam tempoh 55 tahun.

Selain Leicester, Spurs juga perlu terus berjaga-jaga dengan Arsenal yang menghuni tangga ketiga liga dengan kelab tetangga London itu tidak pernah menamatkan saingan di belakang Tottenham ketika era Arsene Wenger.

Situasi Tottenham tampak sama seperti minggu lalu selepas pertembungan dengan Manchester United berlangsung selepas Leicester turut merakam kemenangan ke atas Sunderland.

Namun mereka berjaya bertenang dan mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas United jadi pengurus, Pochettino berharap prestasi yang sama dapat diulang ketika menentang West Ham nanti.

"Ia amat penting. Berada di perlawanan terakhir pada minggu itu mengganggu sedikit dan adalah sukar untuk memulakan perlawanan, sedikit perlahan," kata Pochettino.

"Kamu boleh merasakan kesemua orang kecewa, pemain-pemain kami, penyokong juga namun mereka menjadi menakjubkan pada penghujungnya.

"Kami meraih kemenangan 3-0 ke atas United dan terus percaya sepanjang minggu bagi persiapan menentang Stoke. Kami boleh bermimpi yang masih ada kemungkinan yang Leicester akan menggugurkan mata pada Ahad (Hari ini).

"Penting untuk kami bertenang dan mempunyai idea yang jelas apa yang perlu dilakukan. Kami tidak boleh mengganggu apa yang akan berlaku pada AHad (hari ini)," kata pengurus kelahiran Argentina itu. - AFP

Berita Harian X