Ahad, 17 April 2016 | 6:02am

Dakwah Dr Zakir berasaskan hujah agama, logik akal

DR Zakir Abdul Karim Naik adalah seorang pendakwah kontemporari yang berasal dari Mumbai, India tetapi memiliki kebolehan berhujah yang sangat mantap. Teknik pidato dan debatnya mampu memukau pendengar.

Walaupun beliau memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang perubatan dari University of Mumbai, beliau juga memiliki kepakaran dalam bidang perbandingan agama.

Oleh sebab mahu memberi tumpuan sepenuh masa dan tenaga untuk aktiviti dakwah, beliau sanggup meninggalkan kariernya sebagai seorang doktor perubatan. Kini, Dr Zakir memegang jawatan sebagai Presiden Islamic Research Foundation (IRF), Pengerusi IRF Educational Trust dan Presiden Islamic Dimensions, Mumbai.

Kesungguhan dan keaktifan beliau dalam aktiviti dialog antara agama menjadikan namanya terkenal pada peringkat antarabangsa. Ceramahnya sentiasa dinanti dan mendapat sambutan hangat seperti di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Itali, Mauritius, Australia, Afrika Selatan, Singapura, Hong Kong, Thailand, Guyana (Amerika Selatan) dan di negara beliau sendiri.

Beliau juga mendapat sambutan hangat di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan di beberapa negara lain.

Di Malaysia, beliau pernah berceramah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam beberapa tahun lalu. Malah, beliau turut menyampaikan ceramah di Johor Bahru, Dewan PISA Pulau Pinang, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur dan Kuantan.

Kontroversi golongan sempit minda

Namun, kehadirannya di negara kita sekarang menimbulkan kontroversi yang dicetuskan oleh golongan yang tertutup mindanya. Golongan terbabit yang kebanyakannya terdiri dari pertubuhan bukan Islam sepatutnya hadir ke sesi ceramah beliau untuk mendengar dan bertanya sendiri dengan penceramah hebat yang tidak sama sekali mempromosi keganasan.

Selain berceramah dan berdebat secara terbuka, Dr Zakir juga sering dijemput menyampaikan ceramah di beberapa stesen televisyen dan radio di pelbagai negara. Ceramah dan debat yang beliau sampaikan memberi tumpuan kepada memberikan kefahaman terhadap kebenaran dan kesempurnaan agama Islam.

Hujah yang dibawanya dalam memberikan jawapan terhadap segala persoalan yang dikemukakan bukan sahaja berdasarkan dalil agama tetapi juga bersifat ilmiah dan logik akal.

Selain menggunakan dalil daripada al-Quran dan hadis yang sahih, beliau juga berupaya menggunakan dalil daripada Bible, kitab Veda, kitab Bhagwad Geeta, kitab Upandishads dan pelbagai kitab dari agama lain.

Dengan kelebihan yang Allah berikan kepadanya, beliau berjaya menarik ramai orang di serata dunia memeluk agama Islam. Beliau juga berjaya mengumpulkan lebih enam juta pengikut di laman sosial Facebooknya. Jelas sekali bahawa kepetahannya berhujah dengan disokong fakta sains dan logik akal berupaya menarik hadirin dari pelbagai latar belakang agama mendengar mesej Islam yang disampaikannya.

Beliau pernah mengadakan dialog bersama Dr William Campbell (Amerika Syarikat) pada April 2000. Sebaris dengan Sheikh Ahmad Deedat, Dr Zakir turut digelar pendebat hebat dalam dunia perbandingan agama. Justeru, beliau pernah digelar sebagai 'Deedat Plus' (Deedat 2) pada 1994.

Anugerah daripada Ahmad Deedat

Pada Mei 2005 beliau menerima anugerah sebuah plag daripada Ahmad Deedat yang terpahat padanya kata-kata: "Son what you have done in 4 years had taken me 40 years to accomplish, Alhamdulillah." Dr Zakir juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1435M/2013 pada Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan di Putrajaya.

Selain berceramah, beliau turut menghasilkan banyak buku. Antaranya, 'Quran And Modern Science - Compatible Or Incompatible, Concept Of God In Major Religions', 'Al-Quran - Should It Be Read With Understanding?' , 'Is The Qur'an God's Word?', 'Replies To The Most Common Question Asked by Non-Muslim',, 'Islam And Terrorism', 'Women's Right In Islam - Protected Or Subjugated? dan banyak lagi.

Kebanyakan buku yang ditulisnya serta ratusan video dan cakera padat (CD) ceramah beliau diterbitkan oleh Islamic Research Foundation (diasaskan pada 1991) yang merupakan pertubuhan rasmi berperanan menyebarkan dakwah serta mesej Islam kepada masyarakat. IRF turut mengeluarkan dokumentari dan video ceramah beliau ke serata dunia melalui saluran TV satelit antarabangsa, internet dan media cetak.

Kesimpulannya, Dr Zakir adalah tokoh pendakwah yang bukan sahaja diperakui pada peringkat antarabangsa. Pendekatan dakwahnya adalah melalui pidato serta debat yang bukan sahaja menggunakan dalil al-Quran dan hadis, malah turut merujuk beberapa kitab agama lain serta menggunakan fakta Sains dan logik akal. Beliau adalah tokoh pendakwah Islam yang menentang keganasan, sebaliknya mengajak sesiapa sahaja untuk menerima kebenaran dan kesempurnaan Islam.

56 dibaca
Berita Harian X