Ahad, 17 April 2016 | 12:06am
PENDAKWAH antarabangsa, Dr Zakir Naik. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Kehadiran saya bukan untuk cetus perbalahan - Dr Zakir Naik

KUALA LUMPUR: Pendakwah ulung antarabangsa, Dr Zakir Naik menepis dakwaan segelintir pihak bahawa ceramahnya berbaur cauvinis dan cubaan untuk mencetuskan perbalahan pelbagai penganut agama di Malaysia.

Sebaliknya, Zakir berkata kehadirannya di Malaysia bagi memberi ceramah sejak Khamis lalu bertujuan menyatupadukan segenap masyarakat dunia, tanpa mengira perbezaan pegangan agama, kaum dan bangsa.

"Saya bukan datang sini untuk tabur fitnah atau cuba merendah-rendahkan kepercayaan agama lain, sebaliknya saya hanya ingin satukan semua bangsa dan agama.

"Kenapa kita tidak melihat kepada persamaan, tetapi sibuk mementingkan perbezaan yang akhirnya membawa kepada perpecahan dan perbalahan dalam kalangan masyarakat dunia," katanya pada ceramahnya di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan EXCO Pemuda UMNO, Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Lebih 35,000 hadir sejak jam 5 petang tadi bagi mendengar ceramah Dr Zakir yang juga Tokoh Maal Hijrah pada 2013.

Berita Harian X